.BBM Assignment : Ujian + Sabar + Redha = Hikmah.

بِسْــــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ اارَّحِيم



Salam'alaik..
  Acap kali kita mendengar keluhan apabila diri seseorang itu ditimpa masalah atau musibah, tetapi adakah kita pernah terfikir bahawa masalah dan musibah itu merupakan ujian dari Allah buat kita?  Ujian datang dalam pelbagai bentuk tanpa kita sedari. Kadang-kadang ia datang dalam bentuk kesenangan dan kadang-kadang ia datang dalam bentuk kesusahan. Bagaimanapun ujian yang datang adalah untuk menguji tahap keimanan kita kerana kita tidak akan tahu tahap keimanan kita sehingga kita diuji seperti mana firman Allah,
“Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata ‘kami beriman’ sedang mereka tidak diuji dengan cubaan.” (Al-Ankabut 29 :2)
Ayat tersebut jelas menerangkan tentang sebab kita diuji. Ujian yang datang adalah tarbiyah dari Allah buat kita untuk mendidik diri agar sentiasa sabar dan redha dengan ketentuan yang telah ditetapkan kerana setiap ujian yg diberi mempunyai hikmahnya yang tersendiri. Perancangan Allah itu sangat rapi, bersabar dalam menjalani ujian bukan bermakna kita menyerah, tetapi kesabaran itu adalah kunci untuk terus berusaha untuk mencapai kejayaan menghadapi ujian tersebut. Ada kata-kata yang berbunyi,
“Sabar adalah sebuah kebulatan tekad, bukan kepasrahan” (Abbas As-Sisi)
   Bukan senang hendak mendidik hati untuk menyemai sifat kesabaran yang tinggi, tetapi insyaAllah dengan kesabaran jugalah hati akan terdidik untuk menyemai sifat sabar. Istimewanya orang-orang yang sabar adalah ganjaran dari Allah sepertimana yang telah dijanjikanNya di dalam Al-Quran,
“…dan Kami pasti berikan balasan kepada orang yang sabar dengan pahala yang lebih baik dari apa yang telah mereka kerjakan” (Al-Nahl 16:96)
Subhanallah bertapa besarnya nikmat Allah bagi orang-orang yang sabar dan redha. Hikmahnya juga amatlah besar, kita sebagai hamba sememangnya harus bersyukur kerana diuji. Ujian itu tanda kasih dan cinta-Nya pada kita. Tidak dinafikan kadang-kadang apa yang terjadi tidak sama seperti apa yang telah dirancang, tetapi janganlah terus mengeluh kerana apa yang terjadi ada hikmahnya yang tersembunyi. Perancangan kita itu usaha dan perancangan Allah itu takdir. Kalau terasa diri itu lemah kuatkan dengan sabar dan solat.
“Jadikan sabar dan solat sebagai penolong, sesungguhnya solat itu amatlah berat kecuali bagi orang-orang yang khusyuk.” (Al-Baqarah 2:45)
  Jangan pandang ujian itu sebagai sesuatu yang membebankan, jadikan ujian itu penguat diri untuk terus maju kehadapan. Ujian dari Allah merupakan isyarat dari-Nya agar kita muhasabah diri dan memperbaiki agar ia menjadi lebih baik kelak, yang penting kita sabar dan ikhlas dalam menjalaninya. Bukankah sabar itu juga sebahagian dari iman. Ingatlah bahawa Allah tidak akan menguji hamba-Nya melainkan sesuai dengan kesanggupan kita, itu janji-Nya dalam surah Al-Baqarah ayat 286.  Sematkan dalam diri bahawa ujian itu teras menuju kejayaan dan kuncinya adalah sabar, insyaAllah dapat menghadapinya dengan tenang.
“Siapa yang sabar atas ujian, Allah sempurnakan sabarnya lalu memasukkannya ke dalam syurga mana yang dia suka.”
InsyaAllah, janji Allah itu pasti. Wassalam.


By:


♫ Jazakallahkhair Khatiran ♫

 
BLOG COPYRIGHT 2014 Ieyra Nazari || DESIGN BY NurAlja Lee || DOODLE BY Fizgraphic