.Ancaman Iman.

Teguhkan iman, tingkatkan amal.


Alhamdulillah, masih diberi peluang oleh Allah untuk terus bernafas di muka bumi Allah. Limpah rahmat dan nikmat Islam yang tidak terhingga nilainya. Sama-samalah kita menghargai nikmat iman yang masih tersemat di dada kita. Iman yang kita yakini perlu disuburkan dari hari ke hari kerana ia tidak terkecuali dari pasang surutnya.

Kita hamba yang tidak yang sering diuji dan ujian keimanan mungkin kadang kala tidak kita sedari. Syaitan laknatullah telah berjanji akan terus menerus menghalang manusia dari jalan yang lurus, seperti mana firman Allah dalam Surah Al-A'raf (7:16-17):


Iblis berkata: "Oleh kerana Engkau (wahai tuhan) menyebabkan daku tersesat (maka) demi sesungguhnya aku akan mengambil tempat menghalangi mereka (dari menjalani) jalan-Mu yang lurus" (Al-A'raf (7:16))

"Kemudian aku datangi mereka, dari hadapan mereka serta dari belakang mereka, dan dari kanan mereka serta dari kiri mereka; dan Engkau tidak akan dapati kebanyakan mereka bersyukur" (Al-A'raf (7:17))

Kali ini saya ingin berkongsi tentang gerakan Islam liberal yang berleluasa tanpa kita sedar. Di negara jiran, Indonesia, gerakan ini dilakukan dalam skala yang besar. Pemimpin gerakan ini mendapat ruang dan peluang untuk terus menyebarkan fahaman ini dalam pelbagai bentuk media massa.

Sebelum melangkah jauh, saya ingin memberi sedikit penerangan tentang gerakan ini. Isi kandungannya saya petik dari "Kertas kerja gerakan Islam liberal di Indonesia dan kaitannya dengan ESQ" hasil kajian Sahibus Samahah Datuk Wan Zahidi Wan Teh (Mufti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur). Isi penuh boleh didapati di sini.




Fatwa dari Majlis Ulama Indonesia telah menyenaraikan tiga gerakan yang menyeleweng aqidah umat Islam iaitu: Pluralisme, Sekularime dan Liberalisme.

Pluralisme ialah fahaman yang mengajarkan bahawa semua agama adalah sama dan percaya bahawa kebenaran semua agama adalah relatif. Antara penyelewengan yang dilakukan ialah membenarkan perkahwinan antara pasangan Muslim dengan bukan Muslim.

Sekularisme melibatkan pemisahan antara urusan duniawi dengan agama. Agama hanya dihadkan pada urusan ibadah dan hanya dijalankan pada upacara tertentu. Pada masa yang sama hubungan dan hal duniawi terletak pada kesepakatan sosial. Banyak sebenarnya contoh fahaman ini berlaku di negara kita. Jelas kita melihat agama hanya diambil bila perlu dan ditinggalkan tatkala ia dianggap renyah dan payah.

Akad nikah semasa kahwin dianggap penting dan perlu mengikut syariat sedang pelaksanaan walimah tidak pula mengikut tuntutan agama. Jelas kita melihat pelaksanaan undang-undang Islam yang hanya dibuat pada aspek undang-undang keluarga Islam, nikah dan rujuk serta semasa pembahagian faraid. Di mana bakinya? Bagaimana pengurusan kewangan dan pentadbiran? Sama-samalah kita menilai. Di mana letaknya hukum Islam dalam urusan harian kita.

Liberalisme pula melibatkan pemahaman nas-nas agama (Al-Quran dan As-Sunah) menggunakan akal fikiran yang bebas dan hanya diterima apabila mencapai logik akal. Hakikatnya akal manusia itu terbatas. Ada perkara terutamanya yang melibatkan perkara ghaib perlu diimani tanpa perlu dipersoal apatah lagi ditolak.

Banyak sungguh penyelewengan yang dilakukan hingga sampai ke tahap menghina sifatmaksum nabi junjungan Muhammad S.A.W, MasyaAllah. Menyamakan sifat nabi yang terhindar dari dosa dengan manusia biasa yang hakikatnya tidak terlepas dari melakukan kesilapan merupakan perkara yang amat dahsyat yang dilakukan oleh gerakan ini. Bagi mereka yang kurang pegangan asas agama pasti mudah terpengaruh dengan fahaman ini.

*********

Sahabat-sahabatku,

Suka untuk saya mengingatkan diri agar kita sama-sama peka dan meneliti tahap iman kita. Di luar sama banyak gerakan yang mampu menggugat malahan meragut keimanan kita kepada Allah. Jangan biar diri terpengaruh dan dihanyutkan dengan fahaman ini. Ingat, ianya ibarat sembilu yang mungkin tidak disedari namun jika tidak dibuang mampu mencederakan. Buka mata, buka hati dan minda, lihat sekitar kita dan muhasabahlah. Ancaman iman ini satu ujian, moga kita terus dibimbing-Nya dan berada dalam arus jalan yang lurus. Amin.
Wallahua'alam .

Sumber : LINK

No comments:

 
BLOG COPYRIGHT 2014 Ieyra Nazari || DESIGN BY NurAlja Lee || DOODLE BY Fizgraphic