.Betul ke kita beriman?.

Pelbagai masalah yang menimpa umat Islam seluruh hari ini. Tidak kiralah dari segi apa pun sama ada sosial, politik, ekonomi dan segala macam sudut. Kita sebagai umat Islam lebih cenderung menyalahkan pihak lain di atas kelemahan kita sendiri. Bukan semua yang bersifat begini tetapi ada dalam kalangan umat Islam itu sendiri.

Saya cuba berkongsi pendapat saya bersama para pembaca artikel ini. Jika ada salah dan silap boleh ditegur dengan cara yang berhemah seperti mana yang diamalkan oleh junjungan besar kita Rasulullah S.A.W. Ini adalah sekadar pendapat peribadi saya, ianya adalah hasil daripada pengalaman hidup saya yang tidak seberapa ini.

Kita sambung kembali isu yang dibincangkan sebentar tadi. Sebagai contoh dan ini tiada kaitan dengan sesiapa, ramai umat Islam dewasa ini cukup prihatin dalam isu Palestin. Banyak juga pihak sama ada yang beragama Islam atau pun tidak yang telah membantu dari segi bantuan kewangan, pakaian, tenaga dan pelbagai lagi perkara yang dirasakan perlu untuk membantu rakyat Palestin yang menderita.

Tidak kurang juga yang sering berdoa supaya rakyat Palestin diselamatkan dan pihak yang menindas ke atasnya dihancurkan daripada muka bumi ini dan kalau tidak silap saya, doa-doa ini juga sering berkumandang di tempat yang makbul doa seperti di Tanah Suci Makkah dan juga Madinah.

Persoalannya,

Adakah Yang Maha Mendengar tidak mendengar doa kita?

Adakah Yang Maha Mengetahui tidak mengetahui hambaNYA sedang menderita?

Adakah Yang Maha Mengasihani tidak mengasihani hambaNYa?

Adakah Yang Maha Melihat tidak melihat kesengsaraan hambaNYA?

Adakah Yang Maha Berkuasa tidak berkuasa ke atas kekuasaanNYA?

Adakah Yang Maha Pencipta tidak dapat mengawal ciptaanNYA?


Tidak sesekali tidak kerana Allah itu Maha Sempurna tiada tolok bandingnya.

Wahai orang yang Islam, kita cuba lihat kembali dalam diri kita. Sememangnya nama kita Muhammad, nama kita Ahmad, nama kita Abu Bakar, nama kita Umar, nama kita Uthman, nama kita ‘Ali, nama kita Khadijah, nama kita ‘Aisyah, nama kita Fatimah tetapi adakah kita benar-benar beriman?

Apa itu iman?

Iman itu yakin.

Bagaimanakah perasaan yakin itu?

Seseorang yang yakin kawannya seorang yang amanah akan menceritakan rahsianya tanpa sedikit syak pun bahawa kawannya itu akan menceritakan rahsia tersebut kepada pihak lain.

Inilah yakin. Tiada syak. Tiada keraguan.

Di mulut yakin yang Allah itu Maha Melihat, tetapi masih melakukan dosa bersunyi diri.

Di mulut yakin bahawa Allah itu Maha Mendengar tetapi mulut masih seronok memperkatakan kelemahan dan aib orang lain.

Di mulut yakin bahawa Allah itu Maha Berkuasa tetapi masih merasakan diri sendiri yang berkuasa dengan meninggalkan solat. Bagi yang tidak meninggalkan solat, cuba ingat balik solat fardhu yang kita lakukan tadi, sempurnakah? Adakah menepati ciri-ciri solat yang khusyuk?

Puasa, bagi yang berpuasa, sempurnakah puasa kita secara batinnya? Pada zahirnya kita berpuasa,tapi batinnya?

Zakat dan haji, ini yang fardhu kalau ini pun tak buat, tak payah cerita la yang sunat.

Banyak lagi kalau ingin disenaraikan akan kelemahan sebagai KITA UMAT ISLAM. Lihat sahaja Rukun Islam kita yang lima.

Sejauh mana tahap keyakinan terhadap Allah S.W.T?

Sejauh manakah keimanan kita terhadap Allah S.W.T?

Hal ini berlaku kepada umat Islam seluruh dunia. Umat akhir zaman. Nak buat macam mana. Itukah jawapan kita?

Kita ibarat buih-buih di lautan. Banyak tetapi tidak bertahan lama. Orang yang lemah imannya akan terus mengikut arus. Orang yang sederhana imannya dapat menahan arus. Orang yang kuat imannya dapat melawan arus. Kita bagaimana?

Mungkin secara ikrar dan perbuatan menunjukkan kita beriman. Perkataan yang dituturkan oleh kita menampakkan seolah-olah kita orang yang beriman. Perbuatan kita melakukan solat, puasa, zakat,tulisan-tulisan kita di buku-buku atau blog-blog menunjukkan kita orang yang beriman walaupun kita tidak menyatakannya. Tapi di manakah hati kita?

Bukankah iman itu dicetuskan oleh hati, diikrarkan dengan lidah dan dibuktikan dengan perbuatan? Ketiga-tiganya mesti disekalikan. Hati, lidah dan perbuatan.

Hati kita belum yakin dengan ucapan keimanan yang kita ucapkan. Hati kita belum yakin dengan perbuatan keimanan yang kita lakukan.

BETUL KE KITA BERIMAN?

Penulis bukanlah seorang sangat kuat agamanya. Cuma ingin kongsikan pendapat yang kerdil ini. Harap dapat doakan untuk kesejahteraan iman saya dan umat Islam seluruh dunia.

No comments:

 
BLOG COPYRIGHT 2014 Ieyra Nazari || DESIGN BY NurAlja Lee || DOODLE BY Fizgraphic