.Ujian adalah sunnatullah.


Jalan dakwah, jalan yang panjang dan sukar, payah dan memenatkan. Namun ini adalah yang paling athbat (kukuh), tulen dan terjamin. Jalan ini tidak dihampari dengan permaidani merah, ditaburi bunga-bunga tetapi sarat dengan mehnah dan ibtilak.
Setiap amal di jalan dakwah memerlukan pengorbanan dan keringat. Semakin sukar dan sulit jalan dakwah ini, maka semakin perlu setiap para daie kepada usaha yang lebih besar di segi persiapan dan latihan untuk mengharungi beban amal tersebut. Sedangkan amal untuk agama Allah sentiasa berterusan, pelbagai bentuk dan luas medannya.
Berdakwah di jalan Allah tidak terhenti pada satu-satu cara tetapi merentas kepada aspek substance (isi) iaitu kandungan perisian dakwah. Tugas dan tanggungjawab yang dipikul  para Dai’e sentiasa bertambah sehari demi sehari. Tanggungjawab para Daie semakin besar selepas berjaya memenangkan fikrahnya berbanding  sebelum itu.
Lantaran itu Allah SWT menjadikan ujian (Ibtila’) untuk menguji sof para Dai’e. Jamaah Islamiah tidak akan berjaya mencapai visi dan misi perjuangannya melainkan setelah melalui fasa Ibtila’ dan Mehnah (ujian dan cobaan).
Banyak hadis-hadis dan ayat-ayat al-Quran yang menjelaskan bahwa ujian adalah satu daripada Sunnatud ad-Dakwah.
1. Hadis yang diriwayatkan oleh Abi Hurairah R.A bahawa Rasulullahs SAW bersabda: “Perumpamaan seorang Mukmin adalah seperti satu tanaman yang tumbuh dan tidak lekang berdepan angin yang menggoyangkannya, dan sentiasalah seorang Mukmin itu ditimpa  dengan  ujian. Sedangkan orang Munafik pula umpama satu pokok padi yang tidak bergoyang melainkan setelah dituai dan dikumpul hasilnya…”[Imam Muslim 4/2162]
Begitulah gambaran seorang Mukmin ibarat tanaman yang sentiasa terdedah kepada angin kencang dan kuat. Dengan ini menjadikannya kukuh, utuh dan mantap berdepan segala ujian dan halangan, sedangkan sang Munafik tadi ibarat pokok padi yang tumbuh membesar tanpa menghadapi kegoncangan angin, tidak akan mampu berdepan dengan ujian yang dahsyat dan mengerikan. Begitulah Sang Dai’e akan mampu dan kuat menanggung kesulitan dan kepayahan di jalan dakwah selama mana ia berdepan dengan pelbagai tribulasi dan rintangan.
Kenapa para Dai’e perlu menghadapi ujian sebagai satu Sunnatud ad-Dakwah?
1. Ujian adalah proses untuk membina dan memantapkan Jamaah Islamiah. Tanpa ujian (Ibtila’) Jamaah tidak akan mampu menghadapi tribulasi demi tribulasi sepanjang perjalanan dakwah ini. Seerah telah menunjukkan bahawa Rasulullah SAW dan para sahabat r.a telah melalui fasa-fasa ini sebelum mengecapi kemenangan perjuangan. Hakikatnya ujian adalah batu-bata perjuangan yang mesti ditempuh dan dirempuh sebagai satu sunnah dakwah.
2. Ibtila’ adalah proses menyaring dan memilih anasir yang kuat dan soleh di dalam Sof dakwah. Tujuannya tidak lain agar Jamaah Islamiah tidak dipenuhi dengan mereka yang lemah yang boleh menimbulkan kerosakan kepada Jamaah Islamiah. Mereka yang telah teruji dan mampu memikul beban dakwah akan thabat dan tetap pendirian di jalan dakwah. Mereka adalah para amilin (pekerja) yang thabat berdepan dengan ujian, hasil dari keimanan yang mantap di jiwa mereka, mengharap keredhaan Allah dan ganjaran akhirat. Ini kerana mereka memahami bahawa kepayahan dan kesukaran di jalan dakwah lebih besar dari habuan yang mereka akan perolehi di dunia ini.
3. Ibtila’ memaparkan kelompok yang membenarkan janji mereka dengan Allah dan hakikat penggabungan mereka terhadap nilai Iman. Inilah yang diungkapkan oleh firman Allah  di dalam surah ‘Ali Imran ketika menggambarkan ujian yang telah ditimpa oleh orang-orang Islam di dalam Perang Uhud.
“Jika kamu mendapat luka, maka sesungguhnya kaum Musyrik itu pun mendapat luka seperti kamu. Dan demikianlah, kami pergilirkan hari-hari (menang dan kalah) antara manusia supaya Allah mengetahui orang yang benar-benar tetap iman mereka dan memilih antara kamu para Syuhada’. Dan Allah tidak suka kepada orang berlaku zalim.” (140)
“Dan supaya Allah membersihkan orang-orang yang beriman (dari dosa-dosa mereka) dan membinakan orang-orang kafir…” (141)
Imam Ar-Razi ketika menafsirkan ayat ini menyatakan bahawa proses pergiliran ini (at-Tadawul) ini bukan bermaksud Allah memenangkan orang-orang kafir tetapi pergiliran ini menunjukkan bahawa Allah memberikan ujian dahsyat ke atas orang-orang kafir dan kadang-kadang ke atas orang yang beriman. Ujian ini boleh dilihat dari beberapa perspektif berikut:
1. Kalaulah Allah memberi ujian yang dahsyat ke atas orang kafir pada setiap masa dan menghapuskannya ke atas orang-orang Mukmin maka akan terhasil satu pengetahuan bahawa Iman adalah Haq (satu kebenaran) dan yang lainnya adalah Batil (kebatilan). Dengan ini akan terhapus beban taklif, ganjaran pahala dan balasan kejahatan (‘Iqob). Justeru Allah pergilirkan perkara ini ke atas kelompok mukmin dan kelompok kafir.
2. Seorang mukmin kadang-kadang melakukan dosa dan maksiat, maka Allah memberikan ujian yang dahsyat ke atasnya sebagai proses ta’dib (memberi adab) kepadanya.
3. Ibtilak’ memperdalamkan jurang antara kelompok yang beriman dan kelompok yang kufur. Tidak ada titik pertemuan antara keduanya sama sekali. Kelompok kafir akan sentiasa mendendangkan irama kesakitan dan kepayahan  ke atas orang-orang yang beriman. Peperangan ini berterusan dan berlanjutan sehinggalah orang-orang kafir tunduk kepada hukum Islam. Kalaulah orang kafir berlembut dengan orang yang beriman dan membenarkan orang mukmin menyampaikan risalah dakwah maka orang-orang yang lemah iman berkata: “Bukanlah orang kafir seburuk sifatnya seperti yang disangka..”. Allah SWT memberikan penegasan di dalam al-Quran di dalam ayat 105 dan 217 Surah al-Baqarah yang bermaksud:
“Orang-orang kafir dari ahli Kitab dan juga orang-orang Musyrik, tidak suka kiranya diturunkan kepada kamu sedikit pun dari kebaikan dari TuhanMu”. (105)
“Dan orang-orang kafir sentiasa memerangi kamu sehingga mereka mahu memalingkan kamu dari agama kamu jika mereka mampu melakukannya (yang demikian itu).” (217).
4. Ibtila’ memperkuatkan ikatan sesama mukmin dengan ikatan pemikiran dan perasaan. Ujian ini membawa orang-orang mukmin berfikir kepada satu hakikat binaan Islam yang padu, yang akan memberikan mereka satu binaan yang kuat dan mantap. Sesungguhnya mereka yang telah diuji demi kerana keimanan, mereka telah memberikan sesuatu yang paling mahal di dalam hidup mereka dari jiwa, harta, anak-anak dan negara mereka demi kerana keimanan. Ujian akan menguatkan ikatan perasaan yang mendalam dan mencapai hakikat kebersamaan dan bantu-membantu. Kadang-kadang manusia mudah lupa orang yang bersamanya di saat-saat kegembiraan sedangkan manusia tiadak akan melupakan seseorang di saat-saat kepayahan dan kesukaran.
5. Ibtilak adalah dalil terkuat yang menunjukkan kemampuan dan keutuhan dakwah. Ramai manusia menerima seruan dakwah apabila mereka melihat para pendakwah thabat (teguh) di atas jalan dakwah, tinggi kesabaran dalam mengharungi ujian yang jauh lebih dahsyat. Menanggung beban ujian adalah satu persaksian ketahanan mereka di hadapan manusia. Khubaib b. ‘Adi R.A sentiasa mendendangkan ungkapan syairnya:
Aku tidak peduli ketika aku berperang sebagai seorang muslim
Dari arah mana… demi kerana Allah aku akan gugur (sebagai Syahid)…
6. Ibtilak akan menjadikan seorang mukmin sentiasa berhati-hati dan takutkan Allah. Seorang mukmin akan sentiasa meningkatkan kualiti amalnya dan berusaha mencapai syarat-syarat kemenangan serta menjauhkan sebab-sebab yang membawa kekalahan seperti maksiat dan dosa, sikap lemah dan menyerah diri.
7. Ujian membentuk sifat ikhlas di dalam jiwa mukmin. Imam Ar-Razi di dalam tafsirnya menyatakan bahawa: “Sesungguhnya keikhlasan seseorang insan dilihat ketika berada dalam keadaan ujian (ditimpa bala), dia lebih banyak  kembali mengadu  kepada Allahnya berbanding ketika menerima habuan dunia.”
Allah menjelaskan hakikat dan sunnah ini melalui firmanNya yang bermaksud:
“Dan kami pasti menguji kamu dengan satu ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan, dan khabarkanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar yang apabila mereka diuji dengan satu-satu musibah, mereka berkata: sesungguhnya dari Allah dan kepadaNya kami dikembalikan…”.
As-Syeikh Mustafa Masyhur di dalam bukunya Jalan Dakwah menjelaskan dengan panjang lebar hakikat ini di dalam bab tribulasi dan mehnah di jalan dakwah.
Moga para pendakwah sentiasa bersabar dengan ujian kerana ia adalah satu sunnah dari sunnah berdakwah.

By:
Ustaz Mohd Azizee bin Hasan,
YDP ISMA Seremban


No comments:

 
BLOG COPYRIGHT 2014 Ieyra Nazari || DESIGN BY NurAlja Lee || DOODLE BY Fizgraphic