Ainul Mardhiah melabuhkan diri di atas katil. Inai yang merah dijarinya direnung penuh makna. Dia masih tidak percaya bahawa hari ini dia secara sahnya menjadi isteri kepada Raihan Shauqi, insan yang dikenali saat pengajiannya di Jordan dahulu. Mereka tidak pernah bercinta tetapi di saling mengerti bahawa dalam di dalam hati mereka, ada cinta yang berputik tanpa dipaksa. Tamat saja pengajian mereka, Raihan segera bertemu ayah dan ibu Ainul untuk meminta persetujuan untuk menyunting dirinya sebagai isteri.
Walaupun pada mulanya ibu menghalang kerana mereka baru habis belajar dan masih belum bekerja, namun Raihan bijak mengungkapkan surah Annur ayat 32 yang bermaksud:
“Dan nikahkanlah orang-orang yang masih membujang di kalangan kamu dan juga orang-orang yang layak menikah dikalangan hamba sahaya kamu laki-laki dan perempuan, jika mereka miskin Allah akan memberi kemampuan kepada mereka dengan kurniaannya.Dan Allah maha Luas (Pemberiannya),lagi Maha Mengetahui “
Ibu tersenyum namun mensyaratkan supaya Raihan bekerja dulu sebelum masuk meminang Ainul. Hari ini, Raihan sudah bergelar seorang Pegawai Hal Ehwal Islam manakala Ainul pula mula mengajar di salah sebuah sekolah agama di kawasan tersebut.
Ainul teringat bagaimana dulu Raihan selalu curi-curi memandangnya saat di universiti, walaupun ada getaran dalam hati Ainul, namun dia hanya bisa mendiamkan diri kerana Ainul percaya pada jodoh, sampailah suatu saat, Raihan berani menegurnya lantas tanpa berselindung, meminta untuk berkawan dengannya dan berjanji akan menyuntingnya seusai pengajian mereka di Jordan. Ainul hanya tersenyum dan berdoa moga ada jodoh antara mereka. Hari ini dia rasa terlalu bahagia kerana doanya dimakbulkan Allah, Raihan Shauqi telah sah menjadi suaminya.
“Assalammualaikum.” Sapaan lembut itu mengejutkan Ainul, tuntas dia menoleh. Suaminya sedang tersenyum di depan pintu.
“Ainul fikirkan abang ya?” soalan yang terbit dari mulut Raihan membuatkan wajah Ainul merona merah. Memang itulah yang sedang difikirkannya seketika tadi. Ainul memandang raut wajah itu walaupun ada segan yang masih menghuni hatinya. Wajah itu bersih, matanya yang jernih memandang Ainul dengan senyuman tak lekang dari bibir. Perlahan Raihan mendekatkan diri pada isterinya.
Raihan duduk di sebelah Ainul, matanya tak lepas dari memandang isterinya itu. Tangan Ainul dipegang erat, mata Raihan mula berkaca.
“Eh, abang ok ke?” Ainul tergamam melihat wajah Raihan. Ada titis jernih yang mengalir di pipinya. Raihan tersenyum, air matanya diseka.
“Tak ada apa-apa sayang, abang cuma terlalu gembira. Akhirnya bidadari impian abang kini menjadi milik abang. Ainul tahu tak, abang rasa sangat bertuah.”
Ainul terkesima, terharu dengan kata-kata itu. Air matanya perlahan menitis tapi pantas jemari Raihan menyeka air mata itu. wajah Ainul dikucup perlahan lantas isterinya itu dipeluk erat.
----------------------------------------------------
Raihan mengucup dahi Ainul perlahan.
“Assalammualaikum ya zawjati” bisiknya ke telinga Ainul.
Lembut Raihan mengejutkan Ainul pagi itu, Ainul menggosok matanya tuntas bangun.
“Waalaikumussalam. Pukul berapa sekarang ni abang?”
“Dah pukul 6 pagi sayang. Pergilah siap-siap, kita solat subuh sama-sama ya.” Raihan keluar dari bilik, mungkin ke bilik solat di sebelah.
Ainul bingkas bangun dan bersiap, lantas menapak ke bilik solat. Alunan ayat-ayat Al-Quran yg keluar dari bibir Raihan begitu menenangkan Ainul. Langkahnya diatur perlahan ke tempat wuduk, mencuci anggota tubuhnya satu persatu dan tertib sebelum dia masuk ke saf di belakang suaminya. Raihan yang melihat Ainul sudah bersedia segera melafazkan iqamat.
“Allahu Akbar!” Raihan mengangkat takbir.
Ainul segera turun ke bawah untuk menyiapkan sarapan setelah selesai melipat telekungnya, Raihan sudah terlebih dahulu turun selesai solat tadi. Pasti abang dah lapar, bisik hati Ainul sendiri.
Sampai saja di dapur, Raihan sedang duduk di meja makan, bihun goreng telah tersedia di dalam pinggan di hadapannya dan satu tempat yang kosong, gelas berisi jus oren berada di sisi pinggan. Ainul tergamam, pelik melihat sarapan telah tersedia.
“Abang, abang dah buatkan sarapan ke?” soal Ainul kehairanan.
Raihan tersenyum lalu bingkas bangun dan menarik Ainul ke meja.
“Silakan duduk sayang...” ucapnya sambil menarik kerusi buat Ainul.
Ainul duduk perlahan namun masih tidak percaya dengan apa yang ada di depannya.
“Abang, abang masak ke ni?” soalnya lagi.
Raihan mengambil tempatnya semula sebelum memandang Ainul dengan senyuman.
“Ya Ainul, abang masak. Abang tahu isteri abang suka sangat bihun goreng kan?”
Ainul memandang Raihan dengan terharu.
“Kenapa abang buatkan sarapan? Kan Ainul yang patut buatkan? “ Ainul masih tidak puas hati.
“Sekali-sekala apa salahnya abang buatkan sarapan untuk Ainul. Bukan kewajipan Ainul pun untuk sediakan makanan untuk abang, kan?
Rasulullah pernah bersabda,
'‘wanita apabila ia sembahyang lima waktu, puasa sebulan Ramadhan, memelihara kehormatan serta taat pada suami, maka masuklah mana-mana pintu syurga yang ia kehendaki. Riwayat dari Ahmad Ibnu Hibban, Thabarani, Anas bin MalikItu saja yang Ainul perlu buat, InsyaAllah syurga akan menanti Ainul.” Ulas Raihan dalam senyuman yang tak lekang.
Ainul terdiam. Susah untuk mempersoalkan setiap tindakan Raihan kerana setiap kata-katanya pasti ada terselit hadis Rasulullah dan firman Allah. Ainul tersenyum bahagia kerana memiliki insan yang berpegang teguh pada pesanan Rasulullah dan perintah Allah. Ainul yakin Raihan mampu membimbingnya ke jalan yang diredhai Allah.
“Eh senyum sorang-sorang pulak isteri abang ni.” Kata-kata Raihan itu mengejutkan Ainul dari lamunan. Dia memandang suaminya dengan wajah merona merah.
“Ainul, tolong siapkan beg abang ya. Esok abang dah kena bertolak. Ainul letak jelah pakaian yang Ainul rasa sesuai. Abang akan pakai semua pilihan sayang. ”
Ainul mengangguk. Esok abang Raihan akan ke luar bandar atas urusan kerja, mesti aku kesunyian di rumah nanti, fikirnya sendiri.
----------------------------------------------------
Ainul menanti suaminya dengan perasaan rindu yang menebal. Hanya 3 hari Raihan pergi, namun terasa seperti seribu tahun lamanya Ainul memendam rindu.
“Assalammualaikum ya habibti....”
Ainul segera menerpa ke arah pintu. Raihan berdiri memandangnya dengan senyuman.
“Waalaikumussalam ya habibi.” Ainul menjawab sebelum tangan suaminya digapai dan dikucup.
Raihan mengucup dahi Ainul lantas isterinya itu dipeluk erat.
“Abang rindukan Ainul...” bisik Raihan perlahan ke telinga Ainul.
Ainul tersenyum sendiri, tidak menyangka Raihan meluahkan kerinduannya sebelum sempat Ainul berbuat demikian.
“Ainul pun rindukan abang sangat-sangat.”
“Ainul tahu, abang terasa sangat ketiadaan Ainul. Abang tak senang duduk, rasa terseksa di jiwa abang saat kita berjauhan. Setiap hari abang rasa nak segera pulang bertemu Ainul. ” Raihan meluahkan isi hatinya.
“Kalau macam tu, jangan berjauhan dari Ainul lagi. Ainul tak kisah mengikut abang ke mana saja asalkan dapat berada di sisi abang.”
“InsyaAllah sayang.”
Ainul tersenyum bahagia. Tubuh suaminya itu didakap erat. Hatinya dipenuhi rasa bahagia, mahu saja dia menghentikan waktu agar perasaan ini kan kekal dalam hatinya.
Firman Allah SWT yang bermaksud:
“Isteri-isteri kamu adalah sebagai kebun tanaman kamu.Oleh itu datangilah kebun tanaman kamu menurut cara yang kamu sukai,dan sediakanlah (amal-amal yang baik) untuk diri kamu; dan bertaqwalah kepada Allah SWT serta ketahuilah sesungguhnya kamu akan menemui-Nya (pada Hari Akhirat kelak). Dan berilah khabar gembira (wahai Muhammad) kepada orang beriman”- (Surah Al-Baqarah 2:223)Raihan terdiam usai membacakan tafsiran ayat itu pada Ainul selepas solat maghrib. Wajahnya kelihatan seperti memikirkan sesuatu.
“Kenapa abang?”
Raihan tersenyum memandang Ainul. “Abang teringin nak bertemu Allah di akhirat nanti. ”
Ainul terdiam, memang itu harapan setiap muslim yang beriman. Ainul juga mengharapkan sedemikian.
“InsyaAllah abang, Ainul yakin abang mampu bertemu Allah di akhirat kelak. Abang dah menjalankan tanggungjawab abang sebagai seorang muslim dengan sebaik-baiknya. Abang dah menjadi seorang suami yang terbaik yang ingin dimiliki setiap wanita. Ainul rasa bertuah sangat sebab memiliki abang.”
Raihan merenung Ainul, terharu dengan kata-kata isterinya.
“Abang juga harap, di akhirat kelak, Ainul akan tetap menjadi isteri abang.”
Ainul tersenyum, terharu dengan kata-kata itu.
“Ainul juga mengharapkan perkara yang sama. Ainul berjanji untuk menjadi isteri abang sampai syurga.”
“Terima kasih sayang.” Ucap Raihan sambil mengucup dahi Ainul.
-----------------------------------------------
Ainul terjaga dari tidur malam itu, matanya digosok perlahan sambil memandang ke arah suaminya. Raihan masih belum tidur. Matanya asyik memandang Ainul.
“Abang, abang belum tidur?” Ainul bertanya seraya bingkas duduk.
Raihan tersenyum. Wajah mulus isterinya diusap perlahan. Wajah itu begitu menenangkan jiwanya hingga dia merasakan setiap kedukaan dalam hatinya telah hilang.
“Abang tak boleh tidur. Abang rasa nak tengok wajah Ainul je sepanjang hari. Abang rasa bahagia sangat sebab memiliki sayang. ”
Ainul dapat merasakan cinta yang mendalam dalam diri Raihan buatnya. Tangan Raihan digapai lantas dikucup lembut.
“Terima kasih abang, kerana memberikan Ainul kebahagiaan yang terlalu banyak. Ainul cintakan abang.”
Raihan tergamam. Wajah isterinya direnung dalam-dalam.
“Terima kasih sayang, abang cintakan Ainul lebih dari Ainul cintakan abang.”
Wajah Ainul dikucup perlahan.
“Ainul tidurlah, mata abang belum mengantuk.”
Ainul mengangguk sebelum memejamkan matanya semula.
------------------------------------------------
“Assalammualaikum... abang...” Ainul cuba mengejutkan Raihan dari tidur. Tubuh suaminya digoyang perlahan. Selama ini Raihan yang bangun dahulu, tapi hari ini Raihan masih belum bangun saat Ainul sudah terjaga.
“Abang..abang..” Ainul pelik kerana Raihan masih belum terjaga. Segera dia memegang dahi suaminya. Ya Allah, panas! hati kecilnya menjerit.
“Abang, abang!” Ainul cuba mengejutkan suaminya sekali lagi. Perlahan Raihan membuka mata.
“Sayang...” lemah suaranya memanggil Ainul. Air mata yang hampir menitis diseka Ainul perlahan. Keadaan Raihan benar-benar mengejutkan dirinya.
“Abang ok ke?” soal Ainul penuh risau. Segera dia memangku kepala suaminya.
Raihan mengangguk tanpa bersuara. Wajahnya pucat lesi.
“Abang sakit kepala. Tolong picitkan kepala abang kejap, sayang.”
Ainul memicit-micit kepala suaminya dengan hati yang penuh gusar. Perlahan Raihan memegang tangan Ainul.
“Mari kita bersolat, abang dah ok.” Ajak Raihan sambil tersenyum pada isterinya itu walaupun terasa lemah dalam dirinya untuk bangun.
Usai solat, Raihan kembali lelap di atas sejadahnya. Ainul merenung wajah suaminya dalam sayu. Dahi Raihan diusap perlahan. Masih panas, bisik hatinya.
“Abang, jom kita pergi klinik ya bang.” Soal Ainul saat Raihan mencelikkan matanya. Sedari tadi Ainul menunggu Raihan bangun dari tidurnya kerana terlalu bimbangkan Raihan.
Raihan menggeleng perlahan. “Tak perlulah sayang, sikit je ni. Nanti sembuh la. InsyaAllah.” Raihan berkeras tidak mahu ke klinik.
Sudah seminggu berlalu, namun demam Raihan belum kebah. Puas Ainul memujuk Raihan ke klinik, namun kedegilan suaminya itu mengalahkan anak-anak kecil. Kemanjaan Raihan semakin bertambah sejak dia demam, mahu disuapkan makan, mahu tidur di riba Ainul, namun Ainul tidak kisah semua itu cuma kerisauannya pada kesihatan Raihan kian menebal.
“Uwek!” suara Raihan sedang muntah kedengaran di bilik air, segera Ainul bergegas ke sana, mengosok-gosok belakang suaminya itu.
Wajah Raihan pucat dan cengkung, tubuhnya kelihatan lemah tidak bermaya. Ainul memapah Raihan ke katil.
“Abang, tolong jangan berdegil lagi, mari kita ke klinik, Ainul tengok abang makin lemah.”
Raihan masih sempat tersenyum walaupun ada kesakitan yang ditanggungnya. Perlahan dia mengangguk.
“Puan kena merujuk suami puan ke hospital, keadaan dia nampak teruk. Suhu badannya tinggi, dan dah lebih seminggu dia demam. Kemungkinan suami puan menghidap demam denggi. Saya akan menghubungi pihak ambulans untuk mengambil suami puan dari klinik ini.” Kata-kata doktor itu bagaikan pisau yang menyucuk saraf Ainul. Raihan yang terbaring lemah di atas katil rawatan direnung perlahan, ada air jernih yang kian bertakung di kelopak matanya.
Saat berada di dalam ambulans, Raihan kelihatan sangat lemah, bantuan oksigen terpaksa diberikan. Ainul tidak henti dari mengenggam erat tangan suaminya sambil berdoa di dalam hati. Kerisauan kian membuak dalam dadanya. Air mata yang cuba ditahan dari tumpah, tetap turun berjuraian di pipinya.
Raihan terlena di atas katilnya di dalam wad itu. Ainul hanya mampu merenung suaminya yang kelihatan sungguh lemah. Tubuh suaminya itu diurut perlahan, dan dalam hatinya tak berhenti berdoa.
“Puan, doktor panggil.” Suara jururawat itu mengejutkan Ainul yang terlena di sisi Raihan. Perlahan dia menghampiri bilik doktor bertugas.
“Silakan duduk puan.” Doktor yg berkacamata itu mempersilakan Ainul sambil dirinya asyik membelek fail ditangannya.
Matanya beralih ke arah Ainul dan duduknya dibetulkan.
“Macam nilah puan, saya harap puan banyakkan bersabar. Suami puan disyaki menghidapi Leptospirosis, sejenis penyakit disebabkan oleh bakteria dari air kencing haiwan seperti tikus. Simptom-simptom penyakit ini memang macam penyakit demam biasa tetapi sangat berbahaya. Dah berapa lama suami puan demam?”
“Errr.. dalam seminggu doktor.” Jawab Ainul dalam getaran.
“Kalau suami puan dibawa untuk rawatan lebih awal, mungkin keadaan boleh berubah, tapi...”
“Tapi apa doktor?” pantas Ainul memotong.
“Keadaan suami puan semakin tenat, buah pinggangnya sudah dijangkiti dan sudah tidak berfungsi, anggota lain juga hampir sama, harapan untuknya hidup cuma 20%-80% sahaja.”
Tiba-tiba Ainul merasakan pandangannya gelap.
---------------------------------------------
Wajah Raihan dipandang sayu, Raihan memandang kembali wajah Ainul dengan senyuman yang sukar untuk diukir.
“Maafkan abang sayang.”
Ainul memandang Raihan kehairanan.
“Abang minta maaf untuk apa? Abang tak buat salah pun pada Ainul.” Ucap Ainul dalam esak tangis.
“Abang tak mampu nak menemani Ainul lebih lama lagi. Abang tak mampu bahagiakan Ainul dan menemani Ainul hingga tua. Maafkan abang sayang.” Raihan bersuara, air mata perlahan mengalir dari pipinya.
“Hingga saat ini, sudah terlalu banyak kebahagiaan yang abang berikan pada Ainul. Ainul sangat bersyukur kerana Allah kurniakan seorang suami sesempurna abang. Tiada apa lagi yang Ainul inginkan kerana segalanya Ainul telah dapat dengan memiliki abang. Jika Allah menjemput abang pergi, Ainul tak rasa terkilan sebab Ainul dah merasakan saat paling bahagia dalam hidup Ainul saat bersama abang.”
Raihan tersenyum. “Terima kasih Ainul. Abang sangat mencintai sayang.”
Perlahan Raihan menutup matanya.
Sudah 3 hari Raihan tidak sedarkan diri, dia hanya terbaring kaku di atas katilnya dan dibantu dengan alat penyambung hayat.
“Suami puan sudah tidak mampu diselamatkan lagi, hampir keseluruhan organ dalam badannya sudah dijangkiti bakteria itu. Saya yakin suami puan mampu mendengar. Saya nasihatkan puan supaya lepaskanlah dia pergi dengan aman.” Kata-kata doktor itu ditelan Ainul dengan perit.
Perlahan Ainul mendekati tubuh suaminya. Mulutnya dirapatkan ke telinga suaminya sebelum dia berbisik dalam esak tangis.
“Abang, jika abang tak mampu pergi, kerana risaukan Ainul, janganlah abang khuatir, nyawa baru di dalam tubuh Ainul ini akan melindungi Ainul, pewaris abang ini akan Ainul didik sebaik abang.” Ucap Ainul sambil mengusap perutnya, meluahkan perkhabaran gembira yang tak mampu diluahkan sebelum ini dek kerana kerisauannya pada kesihatan Raihan.
“Ainul berjanji, Ainul akan menjadi isteri abang di syurga kelak. InsyaAllah. Tunggu Ainul di sana ya. Ilalliqa’!” ucap Ainul sebelum melafazkan syahadah di telinga suaminya dengan harapan suaminya akan mengikut di dalam hati.
Perlahan terdengar desahan nafas Raihan yang berombak sebelum nafas itu sepi. Tiada lagi denyutan nadi. Air mata Ainul kian laju merembes di pipinya.
Wajah suaminya direnung dalam-dalam, sebelum wajah itu dikucup perlahan.
“Ilalliqa’ ya habibi.”
Credits: .Iluvilslam.
♫ Jazakallahkhair Khatiran ♫
No comments:
Post a Comment