.Komuter cinta.

بِسْــــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ اارَّحِيم



Hentian komuter Serdang sentiasa dipenuhi oleh orang ramai, masing-masing mempunyai arah tujuan malah aku juga tidak terlepas dalam kesesakan itu. Macam-macam ragam dapat dilihat. Ada yang rancak berborak, ada yang berfikir bersendirian, ada yang berani mati menghisap rokok dan ada juga pasangan kekasih yang berdua-duaan.
Riuh rendah makin kedengaran apabila pengumuman tentang kelewatan komuter. Ramai yang merungut, yang masam mencuka, dapat dilihat pada wajah mereka. Aku tersenyum sendirian dengan melihat reaksi mereka. Nampaknya lama lagi untuk aku menunggu di sini, ini kerana komuter masih berada di stesen Nilai. Aku memerhati dan berfikir sendirian sementara menunggu saat komuter tiba. Melihat gelagat anak muda yang berkasih terutamanya kaum Melayu membuatkan aku takut dan sedih. Aku mohon dijauhkan dari berkelakuan tidak sepatutnya.
Fikiranku mula memikirkan tentang pengangkutan awam yang popular ini. Entah kenapa itu yang terlintas untuk difikirkan. Padaku kita sendiri yang memilih destinasi arah tuju mengikut tujuan masing-masing. Landasan yang lurus itu memudahkan komuter itu bergerak dengan lancar. Aku cuba mengaitkan komuter ini dengan perjalanan hidupku. Aku memilih Allah S.W.T sebagai Tuhan yang layak disembah. Maka ini merupakan destinasi utamaku dan landasan itu merupakan arah dan panduan yang perlu aku lalui dalam mencapai destinasiku.
Bagaimana pula jika aku ingin mengaitkan komuter ini dengan sebuah CINTA? Realitinya untuk sampai ke KL Sentral, kita akan melalui beberapa hentian komuter yang terdapat sepanjang perjalanan itu. Pelbagai karenah dan cabaran yang akan dilalui untuk sampai. Cabaran yang aku maksudkan ialah berasak-asak dengan orang ramai untuk mendapatkan tempat dan bermacam ragam yang tidak diduga.
Jika aku cinta pada Pemilik Cinta Yang Maha Agung, aku perlu untuk meletakkan ALLAH sebagai destinasiku, dan dalam perjalanan untuk aku sampai ke destinasiku tanpa aku sedari cinta dan kasih sayang disekelilingku turut sama serta dalam mengejar cintaNYA. Itulah sebuah kekuatan cinta yang hakiki. Walaupun kita mengharapkan komuter itu berada dilandasan yang betul, tapi siapa akan menduga jika ia tersasar dari landasan itu.
Begitulah kehidupan kita, yang sentiasa mengharapkan petunjuk dan pengharapan pada Yang Maha Esa untuk menetapkan kita pada jalan yang lurus. Kadangkala ada yang tersasar dari landasan kehidupan agama sebenar, tetapi bukanlah berputus asa menjadi jalan terakhir. Seperti firman Allah S.W.T di dalam al-Quran:
"....dan jangan kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya tiada berputus asa dari rahmat Allah, melainkan kaum yang kafir". (Yusuf:87)
Jika kita terus berputus asa dalam menuju destinasi yang menjanjikan cinta yang kekal abadi. Jika akan hilang arah tuju dan membuatkan kita terjerumus dalam kesesatan yang amat merugikan. Firman Allah S.W.T di dalam al-Quran:
Ibrahim berkata,"Tidak ada orang yang berputus asa dari rahmat Tuhannya, kecuali orang-orang yang sesat." (ai-Hijr:56)
Alangkah bahagianya jika dapat merasai cinta dari pemilik cinta yang kekal abadi. Tapi letakkanlah destinasi untuk memiliki cinta itu sebagai destinasi utama dalam perjalanan kehidupan. Disebalik cinta komuter ini membuatkan aku merasakan ia saling berkaitan, Allah menjadikan manusia dengan kelebihan akal untuk berfikir.
Jangan jadikan harta yang berharga itu tiada nilanya. Fikiranku terganggu sedikit dek kerana orang ramai sudah mula bangun untuk bersedia menyambut ketibaan komuter cinta. Aku tersenyum melihat komuter cintaku yang semakin hampir. Aku akan teruskan destinasiku untuk mencapai cintaNYA... terima kasih komuter cinta...

No comments:

 
BLOG COPYRIGHT 2014 Ieyra Nazari || DESIGN BY NurAlja Lee || DOODLE BY Fizgraphic