.Bila wanita menjaga auratnya.

BILA WANITA MENJAGA AURATNYA.......

Bila wanita menjaga auratnya dari pandangan lelaki bukan muhram, bukan
sahaja dia menjaga maruah dirinya, malah maruah wanita mukmin
keseluruhannya. Harga diri wanita terlalu mahal. Ini kerana syariat telah
menetapkan supaya wanita berpakaian longgar dengan warna yang tidak menarik
serta menutup seluruh badannya dari kepala hingga ke kaki.

Kalau dibuat perbandingan dari segi harta dunia seperti intan dan berlian,
ianya dibungkus dengan rapi dan disimpan pula di dalam peti besi yang
berkunci. Begitu juga diumpamakan dengan wanita, Kerana wanita yang
bermaruah tidak akan mempamerkan tubuh badan di khalayak umum. Mereka masih
boleh tampil di hadapan masyarakat bersesuaian dengan garisan syarak. Wanita
tidak sepatutnya mengorbankan maruah dan dirinya semata-mata untuk mengejar
pangkat, darjat, nama, harta dan kemewahan dunia.

Menyentuh berkenaan pakaian wanita, alhamdulillah sekarang telah ramai
wanita yang menjaga auratnya, sekurang-kurangnya dengan memakai tudung.
Dapat kita saksikan di sana sini wanita mula memakai tudung. Pemakaian
tudung penutup aurat sudah melanda dari peringkat bawahan hingga kepada
peringkat atasan. Samada dari golongan pelajar-pelajar sekolah hinggalah
kepada pekerja-pekerja pejabat-pejabat.

Walaupun pelbagai gaya tudung diperaga dan dipakai, namun pemakaiannya masih
tidak lengkap dan sempurna. Masih lagi menampakkan batang leher, dada dan
sebagainya. Ada yang memakai tudung, tetapi pada masa yang sama memakai kain
belah bawah atau berseluar ketat dan sebagainya. Pelbagai warna dan pelbagai
fesyen tudung turut direka untuk wanita-wanita Islam kini.

Ada rekaan tudung yang dipakai dengan songkok di dalamnya, dihias pula
dengan kerongsang (broach) yang menarik. Labuci warna-warni dijahit pula di
atasnya. Dan berbagai-bagai gaya lagi yang dipaparkan dalam majalah dan
suratkhabar fesyen untuk tudung. Rekaan itu kesemuanya bukan bertujuan untuk
mengelakkan fitnah, sebaliknya menambahkan fitnah ke atas wanita.

Walhal sepatutnya pakaian bagi seorang wanita mukmin itu adalah bukan sahaja
menutup auratnya, malah sekaligus menutup maruahnya sebagai seorang wanita.
Iaitu pakaian dan tudung yang tidak menampakkan bentuk tubuh badan wanita,
dan tidak berhias-hias yang mana akan menjadikan daya tarikan kepada lelaki
bukan muhramnya. Sekaligus pakaian boleh melindungi wanita dari menjadi
bahan gangguan lelaki yang tidak bertanggungjawab.

Bilamana wanita bertudung tetapi masih berhias-hias, maka terjadilah pakaian
wanita Islam sekarang walaupun bertudung, tetapi semakin membesarkan riak
dan bangga dalam diri. Sombong makin bertambah. Jalan mendabik dada. Terasa
tudung kitalah yang paling cantik, up-to-date, sofistikated, bergaya, ada
kelas dan sebagainya. Bertudung, tapi masih ingin bergaya.

Kesimpulannya, tudung yang kita pakai tidak membuahkan rasa kehambaan. Kita
tidak merasakan diri ini hina, banyak berdosa dengan Tuhan mahupun dengan
manusia. Kita tidak terasa bahawa menegakkan syariat dengan bertudung ini
hanya satu amalan yang kecil yang mampu kita laksanakan. Kenapa hati mesti
berbunga dan berbangga bila boleh memakai tudung?

Ada orang bertudung tetapi lalai atau tidak bersembahyang. Ada orang yang
bertudung tapi masih lagi berkepit dan keluar dengan teman lelaki . Ada
orang bertudung yang masih terlibat dengan pergaulan bebas. Ada orang
bertudung yang masih menyentuh tangan-tangan lelaki yang bukan muhramnya.
Dan bermacam-macam lagi maksiat yang dibuat oleh orang-orang bertudung
termasuk kes-kes besar seperti zina, khalwat dan sebagainya.

Jadi, nilai tudung sudah dicemari oleh orang-orang yang sebegini. Orang
Islam lain yang ingin ikut jejak orang-orang bertudung pun tersekat melihat
sikap orang-orang yang mencemari hukum Islam. Mereka rasakan bertudung atau
menutup aurat sama sahaja dengan tidak bertudung. Lebih baik tidak
bertudung. Mereka rasa lebih bebas lagi.

Orang-orang bukan Islam pula tawar hati untuk masuk Islam kerana sikap umat
Islam yang tidak menjaga kemuliaan hukum-hakam Islam. Walaupun bertudung,
perangai mereka sama sahaja dengan orang-orang bukan Islam. mereka tidak
nampak perbezaan agama Islam dengan agama mereka.

Lihatlah betapa besarnya peranan tudung untuk dakwah orang lain. Selama ini
kita tidak sedar diri kitalah agen bagi Islam. Kita sebenarnya pendakwah
Islam. Dakwah kita bukan seperti pendakwah lain tapi hanya melalui pakaian

Kalau kita menutup aurat, tetapi tidak terus memperbaiki diri zahir dan
batin dari masa ke semasa, kitalah punca gagalnya mesej Islam untuk
disampaikan. Jangan lihat orang lain. Islam itu bermula dari diri kita
sendiri.

Ini tidak bermakna kalau akhlak belum boleh jadi baik tidak boleh pakai
tudung. Aurat, wajib ditutup tapi dalam masa yang sama, perbaikilah
kesilapan diri dari masa ke semasa. Tudung di luar tudung di dalam (hati).
Buang perangai suka mengumpat, berdengki, berbangga, ego, riak dan lain-lain
penyakit hati.

Walau apapun, kewajipan bertudung tidak terlepas dari tanggungjawab setiap
wanita Muslim. Samada baik atau tidak akhlak mereka, itu adalah antara
mereka dengan Allah. Amat tidak wajar jika kita mengatakan si polanah itu
walaupun bertudung, namun tetap berbuat kemungkaran. Berbuat kemungkaran
adalah satu dosa, manakala tidak menutup aurat dengan menutup aurat adalah
satu dosa lain.

Kalau sudah mula menutup aurat, elak-elaklah diri dari suka bertengkar.
Hiasi diri dengan sifat tolak ansur. Sentiasa bermanis muka. Elakkan
pergaulan bebas lelaki perempuan. Jangan lagi berjalan ke hulu ke hilir
dengan teman lelaki. Serahkan pada Allah tentang jodoh. Memang Allah sudah
tetapkan jodoh masing-masing. Yakinlah pada ketentuan qada' dan qadar dari
Allah.

Apabila sudah menutup aurat, cuba kita tingkatkan amalan lain. Cuba jangan
tinggal sembahyang lagi terutama dalam waktu bekerja. Cuba didik diri
menjadi orang yang lemah-lembut. Buang sifat kasar dan sifat suka bercakap
dengan suara meninggi. Buang sikap suka mengumpat, suka mengeji dan mengata
hal orang lain. jaga tertib sebagai seorang wanita. Jaga diri dan maruah
sebagai wanita Islam. Barulah nampak Islam itu indah dan cantik kerana indah
dan cantiknya akhlak yang menghiasi peribadi wanita muslimah.

Barulah orang terpikat untuk mengamalkan Islam. Dengan ini, orang bukan
Islam akan mula hormat dan mengakui "Islam is really beautiful." Semuanya
bila individu Islam itu sudah cantik peribadinya. Oleh itu wahai
wanita-wanita Islam sekalian, anda mesti mengorak langkah sekarang sebagai
agen pengembang agama melalui pakaian.

No comments:

 
BLOG COPYRIGHT 2014 Ieyra Nazari || DESIGN BY NurAlja Lee || DOODLE BY Fizgraphic