.Cerpen : Kahwin Muda.

Harini sudah 5 bulan 2 minggu dan 4 hari bergelar seorang isteri. Terlalu cepat masa berlalu, terasa masih terkejut apabila dilamar oleh suami rupanya sudah hampir separuh tahun ini menjadi isteri beliau. Ramai yang bertanya sama ada sahabat-sahabat di alam nyata mahupun teman-teman di alam siber yang hairan bagaimana ana boleh menerima seseorang sebagai suami di usia yang masih muda. Ana hanya tersenyum. Kalau sudah jodoh, segalanya Allah permudahkan.


Masih terasa seperti semalam ana terduduk saat mendapat berita lamaran dari suami. Trauma. Tidak mampu untuk berkongsi sekadar ingin mengingatkan diri bahawa setiap yang Allah aturkan adalah terbaik buat hamba-hamba Nya. Allah mengatur kehidupan ini dengan sangat indah dan Allah mengurniakan akal untuk berfikir baik dan buruk sesuatu perkara, namun tidak semua menggunakan akal dengan baik bahkan ramai para ilmuan (read - genius) mempunyai masalah mental.


Manusia tidak mampu terus berfikir dan berfikir, akal itu perlu dipandu dengan iman. Iman itu adalah keyakinan, yakin kepada Allah yang memiliki segala-galanya apa yang ada di bumi, langit dan di dasar lautan. Masih terlalu kecil perumpamaan ini, tetapi Dialah yang memiliki segala-galanya. Taqwa itu bagaimana kita berhati-hati dengan penipuan di dunia ini. Hati ini lemah, jasad ini kerdil dan jiwa ini kerapuhan namun Allah sentiasa memujuk dengan cara dan kehendak Nya.


"Ya Allah, sekiranya ada jodoh buatku di dunia ini maka Engkau bukakanlah hati hamba Mu untukku..."


Tanpa perancangan manusia, Dia aturkan kehidupan ini mengikut perkiraan Nya. Bukan atas kehendak hamba yang sentiasa lemah pengetahuan tentang rahsia-rahsia Nya. Benar, Dia gerakkan hati hamba Nya untuk hamba Nya. Dia memiliki hati manusia, Dia juga yang menggerakkan hati manusia bahkan Dia juga yang membolak balikkan hati manusia. Ya Allah, janganlah Engkau pesongkan hati kami setelah Engkau berikan hidayah...


Pertunangan secara syariat, hanya persetujuan dari ana untuk menjadi isterinya maka termeterai ikatan pertunangan antara kami. Tanpa pertemuan dan 'ayat-ayat cinta' bahkan tanpa lirikan manja dan mencuri pandangan, Dia mentakdirkan bahawa kami akan menempuh kehidupan bersama. Arus dan gelombang di alam pertunangan menduga hati dan perasaan, meski hancur luluh jiwa ini menyembam bumi sekalipun digagahkan juga jasad untuk berdiri. Air mata yang menjadi teman setia, kesihatan yang merudum lantaran tekanan perasaan yang dihadapi ditelan sendirian.


Biarlah, ini yang Allah mahukan supaya hamba ini segera menjahit kembali baju-baju yang tercarik meski luka di jari masih berlumuran dengan darah. Allah mahu segera bangkit dari kelemasan perasaan supaya hamba yang lemah ini belajar menjadi tabah dan tenang dalam gelora di dalam kehidupan rumahtangga kelak.


"Cuti sekolah nanti ada di rumah?"


"Insya Allah, ada."



Tanpa banyak berbasa-basi, dia segera menalifon abi dan berbincang. Cuti sekolah nanti, keluarganya mahu melihat ana. Ya, pertemuan pertama. Sebelumnya, hanya sekeping gambar wajah ana yang diberikan kepada keluarganya. Hanya raut wajah tanpa badan diberikan. Tanpa di duga, keluarga lelaki membawa beberapa dulang hantaran. Ummi tersandar di tiang luar rumah melihat mereka dengan dulang hantaran.


Kami menyambut sekeluarga tanpa pihak ketiga. Abi sendiri yang menjadi 'jurucakap' bagi pihak perempuan. Kelakar. Adat diketepikan bukan tidak menjunjung adat tetapi memudahkan apa yang perlu diutamakan dan mengutamakan syariat dalam urusan ini akhirnya memudahkan segala-galanya. Secara rasminya, majlis pertunangan kami di rumah ana...


Tidak seperti mereka yang mahu bertunang, berdandan rapi di kamar dan menanti saat untuk disarungkan cincin pada jari. Ana dari pagi memasak di dapur, dan sibuk dengan periuk dan kuali :P Tiba-tiba akhun datang ke dapur memanggil ana untuk 'menunjukkan diri' pada keluarga lelaki, tiba-tiba panik kerana muka yang sangat 'comel' akibat memasak dari pagi dan bersiap untuk menjamu makanan pihak lelaki diminta ke ruang tamu.


Mujurlah pakaian tidak kekampungan dengan kain batik dan t-shirt seperti biasa. Jubah dan tudung berwarna ungu, perasan comel dan agak-agak ayu bersalaman dengan keluarga lelaki yang datang dari jauh. Tak tahu mana satu bakal ibu mertua, selepas mereka semua pulang baru ana tanya pada ummi mana satu bakal ibu mertua. Yang paling kelakar, pihak ana tidak membalas apa-apa kepada pihak lelaki. Mana tahu mereka datang dengan dulang-dulang bagai :)


2 bulan kemudian, hari pernikahan.


"Mana satu bakal suami?" Sepupu yang menjadi pengiring ana bertanya.


"Entah lah..." Jawapan paling bagus yang dapat diberikan. Sepupu-sepupu memaksa ana menanggal cermin mata semasa majlis akad nikah, kononnya nampak cantik akhirnya ana tak nampak sesiapa, semuanya kabur :D


Pertama kali bersalaman dengan dia, lelaki yang selama ini digeruni kerana garang dan tegas akhirnya duduk di hadapan sambil tersenyum. Masih tertahan pandangan mata ini, tidak pernah bertentang mata dengan dia. Gerak geri juga kaku, maafkanlah atas sikap kebudak-budakan isterimu ini.


Saat pertama kali memanggilnya "Abang", jantung terhenti seketika. Saat pertama kali keluar berdua-duaanya dengannya, pelik sungguh rasanya.


Di usia 20 tahun, Allah mentakdirkan diri ini menjadi isteri kepada seorang lelaki. Allah memilih dia saat diri terhumban ke dalam kegelisahan yang tidak mampu untuk diucapkan. Allah menarik tangan ini ke arah lelaki itu untuk memimpin gerak langkah ini supaya tidak jatuh sekali lagi. Alhamdulillah, segala puji-pujian buatmu ya Allah.


Di saat manusia lain bimbang dan khuatir apakah diri ini akan disunting lelaki, Dia menggerakkan hati seseorang supaya mengambil ana dengan cara syari'e tanpa ada percintaan mahupun garapan perasaan yang bukan-bukan apatah lagi rindu yang menghukum jiwa. Dia mempercepatkan perjalanan marhalah perkahwinan ini kerana Dia sedang memujuk hamba Nya dengan cara dan kehendak Nya, usir segala kedukaan yang menapak di jiwa dan Dia menggantikan dengan senyuman.


"Insyirah kahwin atas pilihan keluarga atau pilihan sendiri?"


"Kahwin atas pilihan Allah."



Ummi dan abi tidak pernah memaksa ana untuk menerima zauj, mereka juga bebas memberi ana ruang membuat keputusan sendiri.


"Macammana Abang boleh taqdim?"


"Allah yang suruh."


Allah memilih dia untuk ana, Allah menyuruh dia untuk melamar ana. Allah yang SURUH. Kerana Allah yang menyuruh jugalah, kami berusaha beriringan tangan untuk menempuh gelora-gelora yang datang menjengah di teratak kehidupan kami tanpa berprasangka kepada sesiapa. Terkadang, lelah dengan tanggungjawab sebagai isteri kerana bimbang tidak mampu memuaskan hati suami. Terkadang, dihimpit perasaan bersalah apabila tidak mampu menunaikan tanggungjawab sebagai seorang isteri.


"Kalau sakit, jangan paksa diri."


Segera menoleh pandangan ke sisi lain membuang perasaan jauh-jauh dari suami. Saat ana terlantar dan tidak mampu menguruskan diri sendiri, si suami masih menggagahkan semangat untuk terus bersabar dengan kerenah ana.


Perkahwinan itu penyatuan tanggungjawab dua insan, setiap pihak mestilah memainkan peranan masing-masing agar hak pasangan akan dipenuhi. Kelemahan perasaan wanita haruslah dididik supaya tidak menjadi satu tembok yang akan menyusahkan suami dalam memenuhi tanggungjawabnya. Rajuk atas perkara-perkara remeh mestilah digantikan dengan penilaian perasaan yang lebih waras.


Di saat suami tidak memahami isteri, segeralah beristighfar.

"Ya Allah, ampunkanlah aku. Bukan suamiku yang tidak memahami perasaan aku tetapi aku yang belum mengenali suamiku."

Di saat isteri tidak memahami suami, segeralah beristighfar.

"Ya Allah, ampunkanlah isteriku. Bukan isteriku tidak memahami perasaan aku tetapi aku yang belum berkenalan dengan isteriku."


Seorang isteri, apabila mempunyai dosa dengan suami... Berat tanggungannya. Di saat suami menyimpan duka terhadap perangai isteri, tidak mustahil isteri AKAN disusahkan oleh Allah dalam kerja seharian. Di saat suami marah pada isteri, tidak mustahil isteri AKAN ditimpakan kecelakaan pada hari tersebut.


Menjadi isteri harus memahami kepentingan dan keutamaan kehidupan. Perlu berkorban perasaan apabila kehendak diri ditangguhkan demi ibubapa suami kerana keutamaan seorang isteri adalah pada suami sedangkan seorang lelaki meski sudah bercucu cicit sekalipun tanggungjawab terhadap ibubapanya tidak lucut. Itu yang sering wanita lupa, seharusnya seorang isteri mengingatkan suami supaya melebihkan ibubapa suami (mertua isteri) berbanding isterinya (kita) sendiri tetapi dewasa ini para wanita menyibukkan fikiran suami dengan kehendak diri sendiri supaya suami melupakan ibubapanya. Nauzubillah.


"Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan dan rahmat Nya bahawa Dia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki,) isteri-isteri dari jenis kamu sendiri supaya kamu bersenang hati dan hidup kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir." (Surah ar-Ruum ayat 21)


Berkahwin muda itu seronok kerana Dia telah menutup banyak pintu-pintu fitnah. Berkahwin muda itu indah kerana dibebaskan dari keadaan yang akan menjerumuskan remaja ke alam dilema percintaan. Berkahwin muda itu tenang kerana di dalam perkahwinan itu ada sakinah, mawaddah wa rahmah. Berkahwin muda itu bahagia kerana ada teman yang akan berkongsi segala suka dan duka.


Andai perkahwinan itu dibina hanya untuk kepentingan diri sendiri, kita tidak akan menghiraukan tanggungjawab kerana sentiasa memikirkan hak yang suami perlu penuhi tanpa kita memenuhi tanggungjawab sebagai isteri dan mengabaikan hak suami.


Kematangan bukan pada landasan usia tetapi kepada corak pemikiran, bagaimana kita mengurus perasaan dalam menghadapi kehidupan. Buat sahabat-sahabat yang bakal bernikah pada hujung tahun ini, selamat mendirikan rumahtangga. Barakallahu lakuma wa baraka 'alaykuma wa jamaa bainakuma fi khayr.


Jadikanlah pasangan sebagai sebuah anugerah dalam kehidupan dan manfaatkanlah peluang tersebut dengan sebaik-baiknya. Di saat gelora bertandang, kenangkanlah saat-saat yang indah sewaktu lafaz nikah dituturkan suami. Nikmatilah perasaan yang indah saat bergelar seorang isteri kerana perkahwinan itu satu anugerah dari Tuhan buat hamba-hamba Nya.


"Dan kahwinilah orang-orang bujang (lelaki dan perempuan) di antara kamu, dan orang soleh daripada hamba-hamba kamu, lelaki dan perempuan. Jika mereka miskin, Allah akan memberikan kekayaan kepada mereka dari limpah kurnia Nya, kerana Allah amat luas (rahmat dan limpah kurnia Nya), lagi amat mengetahui." (Surah An-Nuur ayat 32)


No comments:

 
BLOG COPYRIGHT 2014 Ieyra Nazari || DESIGN BY NurAlja Lee || DOODLE BY Fizgraphic