.Golongan yg sedikit.


Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang.
Alhamdulilah, kita masih diberi peluang untuk bernafas pada hari ini untuk kita terus menjalankan tugas sebagai hambaNya di muka bumi ini. Semoga hari ini lebih baik dari semalam.
Andainya semalam, sedikitnya waktu  untuk  kita bersujud padaNya , hari ini biarlah makin bertambah waktu untuk kita terus bersujud padaNya. Semoga kita menjadi hamba yang sentiasa bersyukur  dengan nikmat iman dan islam dan tidak sombong untuk bersujud padaNya.
Dialog mainan hati
"Hari ini aku hanya dapat RM500 untuk hasil jualan aku. Tuhan tak pernah nak bagi aku  rezeki lebih sedangkan si Husin tu berniaga sekejap sahaja dah dapat untung banyak,".
" Aku tak faham kenapa si Katty, lagi cantik dari aku, sampaikan wartawan pun buat-buat tak nampak akan kehadiran aku. Esok aku mesti cucuk sana-sini. Aku mesti cantik dari Katty".
Dialog-dialog yang selalu memenuhi segenap fikiran kita dan sudah menjadi lumrah manusia, tidak pernah berasa cukup dengan apa yang kita ada.
Kadang-kadang  kita lupa , yang mana adalah kehendak atau keperluan. Apabila memiliki sesuatu itu, tidak pernah rasa terdetik walau sekelumit dihati untuk mengucapkan atau mengungkapkan rasa syukur padaNya.
Begitu mudah sekali bibir kita melontarkan keluhan demi keluhan. Kita mengeluh atas perkara-perkara yang remeh. Andai dapat ditukar setiap bait keluhan itu kepada wang ringgit, pasti terbasmi kemiskinan di muka bumi. Namun hairan, Kita mengeluh tatkala kita dalam kesenangan. Kita lupa  bahawa ada insan yang lebih malang lagi dari kita.
Tatkala kita diberi dengan makanan yang banyak, pernahkah kita terfikir bagaimana nasib anak-anak palestin yang kelaparan?
Tatkala kita punyai wang untuk  berbelanja, pernahkah kita terfikir kehidupan insan yang papa kedana?
Kita mengeluh atas sekelumit kekurangan, sedangkan kelebihan sebanyak buih lautan dibiarkan.
Allah s.w.t berfirman : "Dan jika kamu menghitung nikmat Allah, nescaya kamu tidak dapat menentukan jumlahnya" (16: 18).
''kemudian Dia menjadikan keturunannya dari saripati air mani yang hina. Kemudian Dia menyempurnakan ke dalam tubuhnya (roh) ciptaanNya dan Dia menjadikannya bagi kamu pendengaran, penglihatan, dan hati tetapi sedikit sekali kamu  bersyukur ''(32: 8-9)
Golongan Yang Bersyukur
Pada zaman Sayyidina Umar al-Khattab, ada seorang pemuda yang sering berdoa di sisi Baitullah yang bermaksudnya:
"Ya Allah! Masukkanlah aku dalam golongan yang sedikit"
Doa beliau didengar oleh Sayyidina Umar ketika Sayyidina Umar sedang melakukan tawaf di Kaabah. Sayyidina Umar berasa hairan dengan permintaan pemuda tersebut. Selepas selesai melakukan tawaf, Sayyidina Umar memanggil pemuda berkenaan lalu bertanya:
"Kenapakah engkau berdoa sedemikian rupa (Ya Allah! masukkanlah aku dalam golongan yang sedikit), apakah tiada permintaan lain yang boleh engkau mohon kepada Allah?"
Pemuda berkenaan menjawab: "Ya Amirul Mukminin! Aku membaca doa berkenaan kerana aku  takut dengan penjelasan Allah seperti firman-Nya dalam surah al-A'raaf ayat 10 yang bermaksud:
"Sesungguhnya Kami (Allah) telah menempatkan kamu sekelian di muka bumi dan Kami adakan bagimu di muka bumi (sumber/jalan) penghidupan. (Tetapi) amat sedikitlah kamu bersyukur".
Aku memohon agar Allah memasukkan aku dalam golongan yang sedikit, iaitu terlalu sedikit orang yang tahu bersyukur kepada Allah".
Jelas pemuda berkenaan. Mendengar jawapan itu, Umar al-Khattab menepuk kepalanya sambil berkata kepada dirinya sendiri:
"Wahai Umar, alangkah jahilnya engkau, orang ramai lebih alim daripadamu".
Semoga kita semua termasuk ke dalam golongan yang sedikit ini, Amin.
Jadi, sama-samalah kita membina tekad untuk membanteras keluhan dan meningkatkan kesyukuran kerana Dia telah berjanji ,
"Dan (ingatlah juga), tatkala Tuhanmu memaklumkan: Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah (nikmat) kepadamu, dan jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), maka sesungguhnya azab-Ku sangat pedih". (Ibrahim: 7)
Ingat nikmat yang dikurniakan, Ingat Pemberi Nikmat yang Maha Pemurah mengurniakan segala nikmat kepada kita.
Ayuh kita jadi golongan yang sedikit , iaitu golongan yang bersyukur.

No comments:

 
BLOG COPYRIGHT 2014 Ieyra Nazari || DESIGN BY NurAlja Lee || DOODLE BY Fizgraphic