.Islam pak kadok.


Buka sahaja dimana-mana forum mahupun di facebook kini dan amat mudah kita melihat ramainya golongan seperti ini menjuarai gelanggang cerita dan debat agama. Cerita agama kini bukan cerita yang seharusnya menjadi bahan didikan yang mendahulukan ilmuan tetapi menjadi topik dan bahan sembang yang hangat seperti menjaja kacang putih dan kacang botak.
Sedar atau tidak, apabila wujud budaya berdebat tanpa mengikut lunas dan adab yang digariskan agama, maka objektif sebenar debat atas dasar mencari kebenaran telah bertukar bertunjang dasar mencari kemenangan. Firman Allah dalam surah An-Nur ayat 15;
(Ingatlah) di waktu kamu menerima berita bohong dari mulut ke mulut dan kamu katakan mulutmu apa yang tidak kamu ketahui sedikit juga, dan kamu menganggapnya sesuatu yang ringan saja. Padahal dia pada sisi Allah adalah besar.
Sekiranya kita membiarkan golongan ini berleluasa, tanpa ada tindakan menegur, menghalang dan membasmi, maka mereka inilah yang akan menyuburkan kelahiran manusia-manusia fasiq yakni golongan yang berdusta dan mendustakan agama. Mereka bukan sahaja terkeluar daripada agama malah boleh menyebabkan ramai lagi umat Islam yang akan terikut keluar pemikiran mereka dari pemahaman Islam yang sebenar.
Islam Pak Kaduk
Cerita Pak Kaduk adalah cerita masyhur orang Melayu yang diwarisi turun termurun. Di zaman moden ramai yang tidak menghargainya mungkin kerana cerita Pak Kaduk tidak membantu dalam membina kelebihan. Pak Kaduk itu sendiri kisahnya adalah seorang yang tidak berilmu dengan tindakannya yang banyak menyusahkan diri sendiri.
Di sini cerita Pak Kaduk adalah kisah yang paling sinonim. Pak Kaduk menang sabung kampung tergadai. Demikianlah juga kisah orang kita yang menang debat tetapi agama tergadai. Ramai orang amat sukar berbincang ilmiah dan selalu ingin menang berdebat dan sudahnya beratus-ratus hadith dan ayat Al-Quran menjadi dalil dan bahan sokongan isi debat mereka. Jadi apa masalahnya sekiranya mereka berdalil dengan Al-Quran dan Hadith?
Adakah mereka ini orang yang mahir atau memahami agama? Tidak dinafikan ada golongan yang tahu dan mengetahui tetapi golongan yang tidak mengetahui itu lebih ramai. Ramai yang menjadi 'Ustaz Google' dan 'Ustaz Search Engine' untuk mendapatkan nas dan dalil dari blog dan website sebagai bahan aktiviti perang mulut yang tidak berfaedah. Adakah mereka ini membuat pengesahan bahawa huraian dan sumber itu adalah betul? Adakah hadith yang diambil itu adalah sahih atau daif? Adakah benar huraian ayat Al-Quran itu mereka cerakinkan dengan kaedah yang betul? Adakah mereka merujuk orang yang mahir dalam agama sebelum mereka mengeluarkan pendapat yang bakal dibaca dan dirujuk orang lain sebagai panduan? Adakah mereka mereka sudi diperbetulkan sekiranya telah tersilap? Firman Allah dalam surah Al Anbia ayat 7:
Kami tiada mengutus rasul-rasul sebelum kamu (Muhammad SAW) melainkan ebberapa orang lelaki yang Kami beri wahyu kepada mereka, maka tanyakanlah olehmu kepada orang-orang berilmu, jika kamu tiada mengetahui
Jadi apa bezanya mereka ini dengan Pak Kaduk? Menang bercerita tetapi kesan kerosakan daripada huraian agama itu membuatkan agama tercinta ini semakin tergadai. Bukankah perosak agama ini harus kita basmi supaya ia tidak berleluasa?
Apakata Jika Anda Tergolong Dalam Golongan Ini?
Saya sendiri adalah salah seorang yang dahulu turut tergolong dalam golongan ini. Sungguhpun saya mempunyai asas agama dan mempelajari ilmu syariah, fekah, tauhid dan sebagainya dibangku sekolah dan kolej, tetapi saya sedar saya bukanlah pakar. Ada orang yang lebih pakar dan mahir harus dirujuk untuk mempastikan saya tidak mengeluarkan huraian salah yang mana boleh jadi menjadi rujukan sesat bagi orang kurang bijak.
Tanyalah diri anda adakah anda pernah melakukan perkara sedemikian rupa? Sekiranya ada, maka tidak susah benar untuk membetulkan keadaan. Tidak juga ia bermaksud anda harus berhenti daripada berdakwah dan menyebarkan syiar Islam ini. Apa yang anda perlu lakukan adalah mendalami ilmu agama itu dan merujuk kepada orang yang mahir serta berguru. Itu adalah yang sebaiknya kerana apabila kita mahu berbicara kebenaran tetapi mengambil mudah tentang kebenaran sesuatu bicara, kesannya amat berbahaya. Sabda Rasulullah S.A.W:
Sungguh adakalanya seorang hamba berbicara sepatah kata yang tidak diperhatikan, tiba-tiba ia tergelincir ke dalam neraka oleh kalimat itu lebih jauh dari jarak antara timur dengan barat (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Hakikatnya apabila kita makin mendalami agama itu, maka fahamlah kita semakin banyak yang kita tidak tahu dan harus diperbetulkan. Satu-satunya perkara yang menyukarkan kita memahami perkara ini ialah ego dan minda yang terjajah. Kita banyak terfikir bahawa apabila kita diam, mengalah dan memberi muka, maka kita adalah orang yang kalah. Tapi kita selalu lupa bahawa kemenangan dalam Islam bukanlah kisah menang berdebat dan bercerita tetapi kemenangan dalam kebenaran.
Perjuangan Itu Sukar
Perjuangan itu bukanlah satu kisah atau terma yang menggambarkan perkara santai dan menyeronokkan. Ia menggambarkan satu kepayahan, kesabaran, kesungguhan, usaha yang mantap, kebijaksanaan dan tawakkal. Kerana itulah umat akhir zaman ini dijanjikan dengan pahala yang besar kerana perjuangan itu sukar dan sentiasa dipenuhi dugaan. Sesungguhnya telah dikhabarkan bahawa memang ada kesukaran dalam perjuangan kebenaran seperti firman Allah dalam surah An-Nisa ayat 61:
Apabila dikatakan kepada mereka "Marilah kamu (tunduk) kepada hukum yang Allah telah turunkan dan kepada hukum Rasul", nescaya kamu lihat orang-orang munafik menghalangi (manusia) dengan sekuat-kuatnya dari (mendekati) kamu.
Salah satu kesukaran ialah peperangan melawan nafsu dan kelemahan diri. Hari ini anda melihat sahabat-handai dan orang lain membina kejayaan melalui kekayaan. Jauh disudut hati teringin memiliki dan berjaya. Tapi anda sendiri tahu bahawa kejayaan dalam hidup itu mempunyai definisi yang lebih besar.
Kenal Diri dan Persiapkan Diri
Sekiranya anda tidak mampu menanggung dugaan perjuangan akhir zaman, usahlah anda menyerahkan diri untuk ketahap itu. Ini adalah kerana anda sendiri boleh lemas dalam perjuangan yang akhirnya merosakkan agama. Buat apa yang termampu. Sokong dan bantu mereka yang mempunyai kekuatan. Usah cuba menjadi 'hero' atau panglima pada nama kerana itu lebih kepada 'syok sendiri'. Kisah perjuangan dan keperwiraan bukan kisah mencipta pangkat atau 'title' sendiri.
Ia juga tidak bermaksud sekiranya kita tidak tahu, maka kita tidak harus memikirkan tentang pembinaan ummah dan mengasingkan diri daripada menjelaskan kebenaran.
"Barangsiapa yang tidak mengambil berat tentang urusan Muslimin, maka dia bukanlah dari kalangan mereka." (Mujmak az-Zawaa'id)
Al-Quran itu turun secara 'munajjaman' yakni beransur-ansur. Dalam perjuangan kita juga harus beransur-ansur dan berstrategi. Usah terjun ke gelanggang sekadar untuk mati atau jadi bahan belasahan. Lakukanlah sesuatu perkara itu dengan praktikal dan memberi kesan yang hakiki. Semoga niat kita untuk berubah dan menyumbang dengan keikhlasan diberkati Allah. Selalulah berdoa semoga mendapat petunjuk agar tidak terpesong, sesat dan menyesatkan.
Janganlah kerana hari ini anda terusik kerana mendapati diri anda tidak ubah seperti Pak Kaduk dalam beragama dan menyampaikan, maka anda terus mematikan diri atau mengatakan anda tidak seperti Pak Kaduk sedangkan itulah apa yang dilakukan. Lapangkan dada, perbaiki diri dan teruskan mengasah ilmu dalam perjuangan. Teruskan niat yang betul dengan menggunakan kaedah dan cara yang betul. Sesungguhnya perjuangan kebenaran itu tidak akan terhenti dan sentiasa ada bantuan Allah sekiranya kita benar-benar ke arahnya. Sabda Rasulullah S.A.W.
"Tidak akan sunyi dari umatku segolongan manusia yang berterus-terang mempertahankan kebenaran. Tidak akan dapat memudaratkan mereka sesiapa yang menentang mereka itu" (Riwayat Muslim)

No comments:

 
BLOG COPYRIGHT 2014 Ieyra Nazari || DESIGN BY NurAlja Lee || DOODLE BY Fizgraphic