.Takut kepada Allah.


Allah SWT berfirman:“Wahai orang-orang beriman, takutlah kepada Allah! Dan hendaklah (tiap-tiap) orang memperhatikan apa yang diusahakan esok (hari kiamat). Takutlah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa-apa yang kamu kerjakan.” (al-Hasyr :18)

Di manakah tahap kita takut kepada ALLAH? Adakah tinggi, rendah atau ditengah-tengah? Ataupun lebih mudah diungkapkan dalam peratus... 50%, 70% atau 100%... Kita sewajibnya 100% takut kepadaNya kerana Dialah yang Maha Besar, Tuhan sekalian alam dan tiada tuhan yang wujud selain ALLAH SWT.

Sebelum khatib memulakan khutbah, beliau wajib menegaskan perkataan itaqullah iaitu bertaqwalah kepada ALLAH kerana itu adalah salah satu rukun khutbah jumaat yang wajib dilakukan oleh khatib. Tiap-tiap minggu khatib di mimbar dimana-mana masjid menegaskan perkataan tersebut kepada jemaah supaya bertaqwa, beriman dan takut kepada Allah. Malangnya, masih ramai manusia tidak mahu takut dan tidak takut kepada Allah malah mereka angkuh dan bongkak serta menunjukkan kesombongan mereka terhadap PENCIPTA MEREKA, ALLAH SWT.
Maka tidak hairanlah Allah akan menurunkan bala’ dengan serta merta seperti tanah runtuh yang berlaku baru-baru ini, tsunami yang berlaku pada tahun 2004, gempa bumi, banjir kilat dan macam-macam lagi. Ini semua berlaku adalah sebagai tanda peringatan kepada mereka yang kufur terhadap Allah SWT. Tidak lama kemudian mereka akan lupa dan kembali seperti asal.

Yang paling menyedihkan lagi, ada pula golongan daripada kita dalam kesusahan masih lagi menunjukkan keangkuhannya serta takburnya terhadap Allah SWT. Selain itu, ada juga golongan yang mendustakan ayat-ayat Allah dalam al-Quran.
Sebagaimana Allah berfirman:
“Dan orang-orang kafir dan mendustakan ayat-ayat Kami, mereka itulah penghuni-penghuni neraka, mereka kekalnya. Dan itulah seburuk-buruk tempat kembali.”
(Surah at-Taghabun:10)


Ayat 10 surah at-Taghabun menerangkan ciri-ciri orang kafir ialah mereka yang mendustakan ayat-ayat Allah. Mendustakan ayat-ayat Allah antaranya ialah mereka yang tidak mengambil ataupun menolak peraturan dan hukum Allah dalam al-Quran sebagai peraturan hidup, sama ada dalam kehidupan individu, masyarakat dan negara. Golongan inilah yang tidak takut akan Allah. Sebagai contoh, dalam negara kita terdapat satu golongan yang menolak hukum hudud. Mereka berani menuduh undang-undang Allah ini tidak adil kepada masyarakat majmuk seperti negara kita. Tetapi mereka mengambil sebahagian peraturan-peraturan Allah seperti solat, puasa, haji dan zakat. Orang-orang mengambil sebahagian hukum-hukum Allah atau ayat-ayat al-Quran dianggap serkular. Ingatlah, sesungguhnya Allah itu Maha Adil!

Golongan yang tidak takut akan Allah dan tidak beriman sudah semestinya tempat tinggalnya ialah neraka di akhirat kelak iaitu tempat seburuk-buruknya kembali. Cuba kita tanya pada diri kita sendiri. Adakah kita sudah bersedia untuk bertemu dengan Allah dengan keadaan seperti sekarang?
Kata Hasan al-Basri “Di padang mahsyar nanti, semua muka manusia terpaksa memandang ke atas kerana mereka tidak sanggup memandang sesama manusia yang berwajah sedih, cemas dan resah disebabkan masing-masing di dalam kesusahan.”

Orang mu’min adalah orang yang takut kepada Allah dan seluruh anggota badannya.
Sebagaimana Abul-Laits telah berkata, “Tanda-tanda takut kepada Allah itu kelihatan dalam 7 perkara.”

Tanda-tanda:
1. Pada lisannya, dia menghindarkan diri daripada berbual kosong, gossip, berbohong dan banyak bercakap, malah dia mendekatkan diri kepada Allah seperti zikir, membaca al-Quran dan muzakarah ilmu.
2. Pada hatinya iaitu buang rasa permusuhan, kebodohan dan kedengkian terhadap kawan. Ingat, kedengkian dapat menghapuskan kebaikan. Rasulullah SAW bersabda: “Hasad itu dapat memakan kebaikan sebagaimana api membakar kayu api.”
3. Pada pandangannya iaitu tidak suka memandang benda-benda haram. Rasulullah SAW bersabda: “Barangsiapa memenuhi matanya dengan perkara haram, maka Allah akan memenuhinya daripada api pada hari kiamat”
4. Pada perutnya iaitu tidak diisi barang haram. Sebagaimana Nabi SAW bersabda: “Manakala sesuap daripada barang haram masuk ke perut sesorang, maka seluruh malaikat di langit dan di bumi melaknatinya selama sesuai atau seteguk barang itu berada di dalam perutnya. Jika dia mati dalam keadaan demikian, maka tempatnya di neraka.”
5. Pada kedua tangannya iaitu menolak benda-benda haram dan digunakan untuk taat kepada Allah. Dirawikan daripada Ka’ab Akhbar, dia berkata: “ Sesungguhnya Allah SWT telah menciptakan bangunan daripada zarbajud hijau. Di dalamnya terdapat 70,000 aula. Setiap aula terdapat 70,000 pondok. Tidak ada siapa boleh masuk melainkan orang yang ditawarkan barang haram, namun dia menolaknya kerana takut kepada Allah.”
6. Pada langkahnya (kakinya) iaitu tidak berjalan untuk maksiat dan perbanyakkan langkah masuk ke dalam masjid serta banyak bergaul dengan para ulama, orang-orang soleh.
7. Terlihat pada ketaatannya. Dia menjadikan ketaatannya semata-mata untuk mencari keredhaan Allah.

Barangsiapa melakukan 7 perkara tersebut, maka dia termasuk dalam kategori orang-orang yang dikatakan oleh Allah SWT dalam ayat 45 surah al-Hijr: “Sesungguhnya orang-orang yang taqwa dalam kebun-kebun dan mata air (syurga).”
Seolah-olah Allah mengatakan, “Sesungguhnya pada hari kiamat mereka selamat daripada api neraka.”

No comments:

 
BLOG COPYRIGHT 2014 Ieyra Nazari || DESIGN BY NurAlja Lee || DOODLE BY Fizgraphic