.Memelihara Allah dalam mujahadah.

Khabbab bin Al-Aratt RA adalah salah seorang sahabat Rasulullah SAW yang terawal memeluk Islam. Beliau merupakan hamba kepada Ummu Ammar bin Siba‘ dari Bani Khuza‘ah. Seperti mana hamba-hamba lain yang memeluk Islam, Khabbab juga tidak terlepas daripada ditindas oleh kaum musyrikin Makkah.


Antara bentuk seksaan yang diterima Khabbab RA ialah rambut di kepalanya dikepal dan disentap dengan sekali rentapan. Kadangkala Khabbab RA dipusingkan tengkuknya dengan sangat keras. Kemuncak kepada penindasan terhadap sahabat Nabi itu ialah Khabbab RA dibaringkan beberapa kali di atas bara api, kemudian diletakkan di atasnya seketul batu sehingga Khabbab tidak mampu untuk bangun. (Muhammad Sulaiman Al-Mansurfuri, Rahmah li al-‘Alamin. Lihat: Safiyur-Rahman al-Mubarakfuri, Ar-Rahiq al-Makhtum).


Bentuk-bentuk penindasan yang sangat kejam, keji lagi ganas ini menjadi ujian keimanan buat Khabbab. Dek tidak tahan dengan seksaan yang dikenakan, Khabbab dan beberapa orang sahabat lain menghadap Rasulullah SAW untuk mengadukan masalah mereka.


Khabbab RA menceritakan di dalam sebuah hadith: “Kami mengadu kepada Rasulullah SAW. Ketika itu Baginda sedang berbaring di bawah lindungan Ka‘abah. Kemudian kami bertanya, “Adakah engkau tidak meminta pertolongan untuk kami? Adakah engkau tidak mendoakan kebaikan untuk kami?””




Keperitan dalam Beragama


Baginda lantas bersabda:


“Orang yang sebelum kamu itu ada yang ditanam hidup-hidup. Ada yang digergaji dari atas kepalanya sehingga tubuhnya terbelah dua. Dan ada pula orang yang disisir dengan sisir besi yang mengenai daging dan tulangnya. Tetapi yang demikian itu tidak menggoyahkan mereka daripada agamanya. Demi Allah, Allah pasti akan mengembangkan agama Islam sehingga ke merata tempat dari Shan‘a sampai ke Hadhramaut, dan masing-masing tidak takut melainkan kepada Allah atau takut serigala menyerang kambingnya. Tetapi kamu sekalian sangat tergesa-gesa.”


Hadith ini direkodkan oleh Al-Bukhari, 3126; Ahmad, 5/109; Al-Humaidi, 157; Abu Daud, 2649; dan an-Nasa’i, 8/204. (Lihat: Imam Nawawi, Riyadh as-Solihin; Ustaz Zahazan Mohamed, 101 Kisah dan Pengajaran daripada Al-Quran, Al-Hadis, dan Hayatus Sahabah)


Membaca kisah-kisah kesabaran dan keperitan yang dialami oleh para Sahabat pada era permulaan Islam sangat menggetarkan hati kita. Jalan yang dilalui oleh para Sahabat begitu berliku dan penuh dengan darah dan air mata. Nyawa menjadi pertaruhan demi menegakkan kalimat Allah SWT di muka bumi.


Maka tidak hairanlah para Sahabat mendapat kedudukan yang tinggi di sisi Allah SWT menerusi firman Allah SWT:


“Orang yang terdahulu lagi yang awal (masuk Islam), iaitu Muhajirin, Ansar dan orang-orang yang mengikuti mereka dengan baik, Allah redha kepada mereka dan mereka pun redha kepada Allah. Allah menyediakan bagi mereka syurga-syurga yang mengalir sungai-sungai di dalamnya, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya. Itulah kemenangan yang besar.” (Surah At-Taubah ayat 100)




Rahsia Kekentalan Jiwa

Apakah rahsia kekentalan jiwa mereka? Tidak lain tidak bukan ialah kemantapan akidah yang telah diterapkan oleh Rasulullah SAW dalam proses tarbiyah secara sir (rahsia) di rumah Al-Arqam bin Abi Al-Arqam RA.


Di dalam sebuah hadith, Rasulullah SAW telah mengajarkan kepada Ibn ‘Abbas RA beberapa pelajaran penting, yang mana ketika itu Ibnu ‘Abbas masih lagi kanak-kanak. Sabda Rasulullah SAW:


“Wahai budak, sesungguhnya aku mengajarimu beberapa kalimah. Peliharalah Allah, Allah akan memeliharamu. Peliharalah Allah, pasti kamu mendapati-Nya di hadapanmu. Apabila kamu meminta, maka pintalah daripada Allah. Apabila kamu meminta pertolongan, maka pintalah pertolongan daripada Allah.


Dan ketahuilah, sesungguhnya jika suatu umat berkumpul untuk memberi manfaat kepadamu, maka mereka tidak dapat memberikan manfaat kepadamu kecuali dengan apa yang telah dituliskan (ditentukan) untukmu oleh Allah. Dan sekiranya mereka berkumpul untuk memudaratkan kamu dengan sesuatu, maka mereka pasti tidak dapat memudaratkanmu kecuali dengan sesuatu yang telah dituliskan untukmu oleh Allah.


Telah diangkat akan pena, dan telah keringlah lembaran-lembaran (takdir).” (Hadith direkodkan oleh At-Tirmizi hadith no. 2516, menurutnya hadith ini hasan sahih).




‘Peliharalah Allah, Allah akan Memeliharamu’


Untuk ‘memelihara Allah’, kita haruslah beriltizam dengan segala perintah Allah SWT dan berhenti pada batasan larangan-Nya tanpa mendekatinya. Kita juga perlu melaksanakan apa yang telah difardukan ke atas diri kita, dan jangan sekali-kali bersikap acuh tak acuh dan sambil lewa dalam melaksanakannya. Jauhilah dari segala larangan-Nya dan binalah satu benteng antara diri kita dan larangan-larangan itu. (Dr. Mustafa Bugha, Muhyiddin Misto, Al-Wafi). Dengan itu, kita akan dapat melihat Allah akan ‘memelihara’ kita.


Bagaimana? Yakni dengan memelihara agama kita, menjaga akidah kita dari tersasar, melindungi diri kita dari kekhuatiran jiwa dan najis kesesatan. Allah SWT juga akan melindungi diri kita dari kejahatan-kejahatan makhluk dan menahan kita dari syaitan jenis jin dan manusia. Apabila sudah berada dalam pemeliharaan Allah, Dia akan menolak segala kesakitan dan kezaliman daripada kita serta orang-orang yang mengikuti jalan kita. (Dr. Mustafa Bugha, Muhyiddin Misto, Al-Wafi).


Tetapi, dengan syarat, hendaklah kita beriman kepada Allah SWT, kemudian kita beristiqamah dalam agama kita. Sebagaimana wasiat Rasulullah SAW kepada Sufyan bin ‘Abdullah At-Thaqafi RA:


“Ucapkanlah, “Aku beriman kepada Allah”, kemudian hendaklah kamu beristiqamah dengannya.”
 (Hadith direkodkan oleh Muslim no. 38, At-Tirmizi no. 2412, dan Ibnu Majah no. 3972)




Mujahadah


Jalan dakwah bukan suatu jalan yang mudah. Laluan yang dilalui penuh dengan onak dan duri. Seringkali melaluinya memerlukan pengorbanan darah dan air mata. Bukan sedikit nyawa terkorban di pertengahan jalan, demi mempertahankan iman dan menyebarkan Islam. Namun, itu bukanlah pengorbanan yang sia-sia.


Pengorbanan Sumayyah dan suaminya berbayar dengan tertegaknya sebuah negara Islam di Madinah. Pengorbanan Bilal bin Rabah berbalas dengan bebasnya Makkah Al-Mukarramah daripada cengkaman syirik. Pengorbanan para syudaha’ di medan perang akhirnya membungakan tiga perempat dunia di bawah naungan Islam.


Semua itu memerlukan pengorbanan dan kesabaran. Kerana ia tidak berlaku dalam masa yang begitu singkat. Jiwa memerlukan suatu mujahadah untuk terus kekal bersabar dan redha dengan cabaran yang menimpa diri. Dan mujahadah itu tidak akan terbentuk tanpa kita memelihara Allah terlebih dahulu.



Rujukan:

1. Al-Quran Al-Karim.
2. Dr. Mustafa Al-Bugha, Muhyiddin Misto. (2007) Al-Wafi fi Syarh Al-Arba‘in An-Nawawiyah. Ahmad Khairi Al-Latifi (penterjemah). Kuala Lumpur: Al-Hidayah Publishers.
3. An-Nawawi, Abu Zakaria Muhyiddin Yahya bin Syaraf. (2008) Riyadh As-Solihin. Muhammad Sulaiman Al-A‘raj (ed.). Lebanon: Dar Al-Kutub Al-‘Ilmiyyah.
4. Ust. Zahazan Mohamed. (2008) 101 Kisah dan Pengajaran daripada Al-Quran, Al-Hadis dan Hayatus Sahabah. Kuala Lumpur: Telaga Biru Sdn. Bhd.
5. Al-Mubarakfuri, Safiyur-Rahman. (2010) Ar-Rahiq Al-Makhtum – Sirah Nabawiyyah SAW. Muhammad Ramzi Omar (penterjemah). Kuala Lumpur: Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia.

No comments:

 
BLOG COPYRIGHT 2014 Ieyra Nazari || DESIGN BY NurAlja Lee || DOODLE BY Fizgraphic