.Hukum mewarna rambut.

Umat Islam dibenarkan mewarnakan rambutnya. Berikut ini kami terjemahkan fatwa Dr. Yusof al-Qardhawi mengenainya

(Al-halal Wal haram Fil Islam, Dr. Yusof al-Qardhawi, hal.89-09):

Sebahagian dari perkara yang tergolong di dalam masalah perhiasan ialah mewarnakan wambut atau janggut yang telah beruban. Telah datang satu riwayat yang menjelaskan bahawa orang-orang Yahudi dan Nasrani enggan mewarna rambut dan mengubahnya dengan beranggapan, antaranya ialah berhias dan memperelok diri itu dapat menghindarkan erti peribadatan dan beragama. Sebagaimana yang dilakukan oleh para rahib dan ahli-ahli zuhud yang bersikap berlebih-lebihan.




Tetapi Rasulullah s.a.w. melarang mengikut (taqlid) kepada suatu kaum dan mengikuti jejak langkah mereka, supaya umat Islam sentiasa mempunyai keperibadian yang berbeza, zahir dan batin. Dan, diriwaytakan oleh Abu Hurairah, bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:
“Sesungguhnya orang-orang Yahudi tidak mahu mewarnakan rambut, oleh itu berbezalah kamu dengan mereka.
(HR Bukhari).

Amar (perintah) di sini mengandungi maksud sunat, sebagaimana yang biasa dilakukan oleh para sahabat, seperti Abu Bakar dan Umar. Manakala yang lainnya tidak melakukan (mewarna rambut), seperti Ali, Ubai bin Ka’b dan Anas.

Tetapi,
dengan warna apa dibenarkan mewarna rambut?
Apakah dengan warna hitam atau warna-warna lain?
Atau mesti mengelakkan dengan warna hitam?

Orang yang telah tua, ubannya telah merata semada di kepala ataupun di janggut, tidak selayaknya mewarna dengan warna hitam. Oleh itu, ketika Abu Bakar membawa bapanya Abu Qufahah ke hadapan Nabi s.a.w. pada hari penaklukan Mekah, Nabi melihat rambutnya seperti pokok Thughamah yang terlalu putih buah dan bunganya. Nabi bersabda: “Ubahlah ini (uban) tetapi jauhilah warna hitam.”
(HR Muslim).

Manakala mereka yang tidak sebaya dengan Abu Qufahah, tidaklah berdosa apabila mewarna rambutnya dengan warna hitam. Dalam masalah ini al-Zuhri telah berkata:
“Kami mewarna rambut dengan warna hitam apabila wajah masih kelihatan muda, tetapi apabila wajah sudah berkedut dan gigi sudah goyang, kami tinggalkan warna hitam.”
(Fathul Bari)

Segolongan ulamak salaf membenarkan mewarna dengan warna hitam, mereka ialah Saad bin ABi Waqqas, uqbah bin Amir, Hasan, Husain, Jarir dan selainya.

Sebahagian ulamak berpendapat tidak boleh dengan warna hitam kecuali dalam keadaan perang agar dapat menakutkan musuh. Kerana mereka akan melihat semua tentera-tentera Islam masih kelihatan muda.
(Fathul Bari).

Dan di dalam sebuah hadis riwayat Abu Zar mengatakan: “Sebaik-baik bahan yang digunakan untuk mewarna uban ialah pokok inai dan katam.”
(HR Tarmizi dan ash-habusunan)

Katam adalah satu pokok yang tumbuh di Yaman yang mengeluarkan pewarna berwarna hitam kemerah-merahan. Dan Inai berwarna merah.

Anas bin Malik meriwayatkan, bahawa Abu Bakar mewarna rambutnya dengan inai dan katam, manakala Umar hanya dengan inai sahaja.

*****intaha al-Qardhawi****

———-
Masalah:
Namun amat disayangkan sekali pada hari ini.. Apa yang berlaku adalah sebaliknya. Jika melihat kepada saranan nabi kepada kita agar mewarnakan rambut apabila telah beruban agar kita ini berbeza dengan orang Yahudi (kafir), namun sekarang ini sebahagian dari kita mewarna rambut kerana tidak ingin berbeda dengan orang kafir.

Sudah menjadi tabiat, bangsa yang lemah meniru bangsa yang kuat. Dan, kerana orang barat rambutnya berwarna perang, maka sebahagian anak-anak muda Islam mewarnakan rambutnya dengan warna perang. Supaya kelihatan seperti orang barat. Mereka melakukannya kerana kagum, kasih dan cintakan kaum berkenaan. Sebahagiannya mewarna-warnikan rambut kerana mengamalkan budaya punk.

Adalah tidak wajar jika mereka mengatasnamakan sabdaan Rasulullah s.a.w. terhadap perlakuan mereka ini. Mereka berbuat demikian bukan sebab sabdaan Nabi atau secara bersahaja, tetapi kerana fikiran dan jiwa mereka sudah terpaut dengan kaum kafir atau budaya tertentu. Syarak tidak mengiktiraf perlakuan begini.

“Barangsiapa yang menyerupai suatu kaum, maka dia tergolong di dalam kaum itu.”
(HR Abu Daud)

———–
2. Masalah tidak sampai air ke anggota wuduk dan hadas.
Para ulamak telah ijmak mengatakan wajib menyampaikan air ke tubuh badan samada mandi atau wuduk, kecuali ketika darurat. Sebab itulah kita diperintahkan supaya menyelat-nyelati jari dan menggerak-gerakkan cincin agar air dapat sampai ke kulit. Dalilnya ialah hadis riwayat al-Khamsan dan disahihkan oleh al-Tarmizi dari Laqith bin Shabrah. Dan hadis riwayat Ibnu Majah dan al-Daruquthni dari Abu Rafi’ dengan sanad Dha’if. (Lihat Ahsanul Kalam fil Fatawa Wal Ahkam, vol 1, hal.
57-58)

————————
Kembali kepada soalan: Apakah pewarna dari syarikat tertentu yang ada tanda halal boleh digunakan?
Jawapan secara umumnya adalah berdasarkan kepada dua penjelasan di atas. Ia boleh digunakan jika produk berkenaan:
1. Bebas dari najis.
2. Tidak menghalang air untuk sampai ke anggota wuduk atau mandi hadas.

Masalah ini samalah dengan masalah pewarna kuku. Islam membenarkannya tetapi bahan yang digunakan mestilah menepati ciri-ciri di atas. (ibid)

Dan, jelaslah di sini, bukan perbuatan mewarna itu yang diharamkan tetapi bahan yang digunakan. Kerana ia membabitkan sah atau tidaknya pengangkatan hadas besar dan kecil. Melainkan jika seseorang itu selepas memakainya tidak berhadas langsung samada besar ataupun kecil.

————
Untuk mengetahui samada bahan berkenaan menghalang air ataupun tidak, kami kira tidak susah. Jika ia berfungsi seperti inai atau za’faran atau kunyit, maka tidak mengapa. Jika ia sebagaimana minyak hitam (motor dsbnya), cat dsbnya, sudah tentu ia menghalang air.

No comments:

 
BLOG COPYRIGHT 2014 Ieyra Nazari || DESIGN BY NurAlja Lee || DOODLE BY Fizgraphic