.Jadilah Si Alim, jangan Jadi Si Rahib.

Jika kita memperuntukkan masa untuk meneliti isi kandungan kitab Riyadh as-Solihin karangan al-Imam an-Nawawi r.h. (wafat 676 H), kita akan menyedari bahawa hadith-hadith yang terkandung di dalamnya tidak hanya hadith yang berbentuk perintah atau larangan secara terus daripada Rasulullah s.a.w. Terdapat juga hadith-hadith yang berbentuk kisah, seperti kisah-kisah yang sering kita dengar daripada orang tua kita dahulukala.


Di dalam sebuah hadith daripada Abu Sa’id al-Khudri r.a., Rasulullah s.a.w. menceritakan kepada para Sahabat sebuah kisah mengenai seorang lelaki yang telah membunuh manusia sehingga mencapai 99 orang. Fitrah yang ingin mencari keampunan Tuhan membuatkan lelaki itu bertaubat lantas berhajat mencari orang yang dapat membimbing dirinya.


Dia telah dibawa kepada seorang rahib. Di hadapan rahib itu, lelaki tersebut menceritakan segala kejahatannya yang silam. Seusai itu, dia bertanya: “Adakah taubatku masih diterima?” Mendengar kisah lelaki itu, rahib itu terus mengatakan, “Tidak, taubatmu tidak akan diterima!”


Orang Alim



Kerana kelancangan rahib itu, lelaki itu lantas bertindak membunuhnya, menjadikan rahib itu sebagai mangsa yang keseratus. Dia pun terus mencari lagi orang lain untuk meminta nasihat. Lelaki itu akhirnya dibawa berjumpa dengan orang alim.


Di hadapan orang alim itu, lelaki tersebut menceritakan segala kejahatannya yang silam, termasuk membunuh rahib yang merupakan mangsa keseratusnya. Soalan yang sama juga diajukan kepada orang alim. Orang alim itu menjawab, “Ya, masih boleh. Siapakah yang boleh berhak menghalangi seseorang untuk bertaubat?”


Orang alim itu kemudian berkata lagi, “Pergilah ke daerah sana kerana penduduk daerah itu menyembah Allah s.w.t. Sembahlah Allah s.w.t. bersama-sama dengan mereka dan janganlah engkau kembali lagi ke kampung halamanmu kerana perkampunganmu daerah hitam.” ‘Daerah hitam’ di sini bermakna kawasan tersebut dipenuhi dengan banyak maksiat.


Lelaki itu menuruti nasihat orang alim tersebut. Namun, takdir Allah s.w.t. mendahuluinya. Belum sempat lelaki itu tiba di daerah yang dimaksudkan, lelaki tersebut meninggal dunia. Namun, kematiannya menjadi punca pertengkaran antara malaikat rahmat dengan malaikat azab yang berebutkan jasadnya.


Malaikat rahmat membela, “Dia pergi ke sana kerana benar-benar ingin bertaubat dan menyerahkan dirinya dengan sepenuh hati kepada Allah s.w.t.” Malaikat azab membidas, “Sesungguhnya dia belum pernah berbuat kebaikan walaupun sedikit.” Pertengkaran dua malaikat ini diketahui oleh Allah s.w.t., lantas Allah s.w.t. mengutuskan seorang malaikat kepada mereka.


Malaikat rahmat dan malaikat maut sepakat untuk menjadikan malaikat yang diutuskan itu sebagai hakim. Malaikat itu berkata, “Ukurlah jarak kedua-dua daerah itu, dan nasibnya akan ditentukan berdasarkan yang lebih hampir.” Apabila diukur, mereka mendapati daerah yang ingin dituju itulah yang lebih hampir. Dengan demikian, lelaki itu diterima oleh malaikat rahmat.


Perbandingan antara Rahib dengan Alim


Kisah ini direkodkan oleh al-Bukhari dalam Sahihnya (no. 3470) dan Muslim dalam Sahihnya (no. 2766). Apa yang ingin penulis tekankan di sini bukanlah keseluruhan kisah, tetapi penulis lebih suka untuk membawa anda menilai sikap rahib dan orang alim.


Di dalam kisah di atas, digambarkan si rahib sebagai orang yang terkenal dengan ibadatnya yang banyak. Namun, walaupun ibadatnya banyak melebihi orang lain, muamalatnya dengan orang lain sangat buruk. Lihat sahaja, bagaimana rahib ini berkomunikasi dengan lelaki yang telah bertaubat, sehingga menyebabkan lelaki itu begitu sakit hati yang mengakibatkan pembunuhan nyawa yang ke-100.


Namun, berlainan pula halnya dengan orang alim. Keilmuan yang tinggi di dadanya menyebabkan sesiapa yang bertemu dengannya tertawan dengan akhlaknya. Lihat sahaja, bagaimana lelaki yang hatinya keras setelah membunuh si rahib, menjadi lembut sehingga lelaki ini akur pada nasihat si rahib. Kata-kata yang terpacul dari mulut orang alim sungguh lembut.


Sikap Masyarakat



Sikap si rahib ini begitu sesuai menggambarkan sikap masyarakat kita dalam berhadapan dengan insan yang telah bertaubat dari dosa silamnya. Masyarakat kita mengambil jalan meminggirkan insan tersebut dengan apa cara sekalipun. Beralaskan sebab tidak mahu terpengaruh dengan dosanya, segala cara dihalalkan, termasuklah mengeluarkan kata-kata yang pedih, menghina, dan malah meminggirkannya.


Maka, usahlah kita hairan mengapa ramai banduan yang keluar dari penjara atau pusat serenti kembali melakukan maksiat. Sikap masyarakat yang enggan membimbing mereka yang menjadi punca mengapa dia lebih suka untuk melakukan maksiat dan dosa silamnya. Dalam erti kata lain, kitalah yang menjerumuskan dia kembali ke lembah kehinaan, bukan dirinya sendiri!


Seharusnya kita mengambil pendekatan ‘orang alim’, iaitu membimbing mereka yang telah bertaubat untuk kembali pada jalan yang lurus. Sesungguhnya orang bertaubat itu lebih baik daripada kita, kerana Allah s.w.t. telah membersihkan diri mereka daripada dosa-dosa dengan taubat mereka. Apalah hebat sangat diri kita, yang ego enggan mengakui dosa sendiri, apatah lagi hendak bertaubat kepada Allah s.w.t.


Adakah kita begitu yakin bahawa Allah s.w.t. akan meletakkan kita ke dalam Syurga-Nya, walhal kita tidak pernah memperuntukkan masa malam untuk bermunajat kepadanya? Adakah kita begitu yakin bahawa kita layak menjadi penghuni Syurga-Nya, sedangkan kita tidak pernah membuat muhasabah ke atas diri kita, walaupun sebentar?


Renungan


Renungkanlah kisah ahli ibadah dan ahli maksiat, di mana suatu hari ahli ibadat menasihati rakannya, iaitu ahli maksiat, supaya berhenti daripada perbuatan dosanya. “Berhentilah daripada berbuat dosa,” katanya. “Jangan pedulikan aku. Terserah Allah akan menilai perbuatanku. Adakah engkau diutus Allah untuk mengawasi apa yang aku lakukan?” balas ahli maksiat.


Ahli ibadah itu menjawab, “Demi Allah, dosamu tidak akan diampuni oleh-Nya atau kamu tidak akan dimasukkan ke dalam Syurga Allah.” Kemudian, setelah kedua-dua orang itu mati, Allah s.w.t. telah menghakimi kedua-duanya di hadapan-Nya. Allah s.w.t. menyoal ahli ibadah, “Adakah kamu lebih mengetahui daripada-Ku? Atau adakah kamu dapat mengetahui apa yang telah berada dalam kekuasaan-Ku?”


Kemudian Allah s.w.t. berfirman kepada ahli maksiat, “Masuklah kamu ke dalam syurga berkat rahmat-Ku.” Sementara kepada ahli ibadah difirmankan, “Masukkan orang ini ke dalam Neraka.” 


(Direkodkan oleh Ahmad, 2/323; Abu Daud, 4901; Ibn Mubarak dalam Az-Zuhd, 312; Ibn Abi Duniya dalam Husnuzh Zhan, 45; al-Baghawi dalam Syarah al-Sunnah, 14/385. Rujuk: 101 Kisah dan Pengajaran daripada al-Quran, al-Hadis dan Hayatus Sahabah, Ustaz Zahazan Mohamed)



Rujukan:


1. Zahazan Mohamed, 2008. 101 Kisah dan Pengajaran daripada al-Quran, al-Hadis dan Hayatus Sahabah. Kuala Lumpur: Telaga Biru Sdn. Bhd.

2. An-Nawawi, Yahya bin Syaraf. Riyadh as-Solihin min Kalam Sayyid al-Mursalin. Beirut: Dar al-Kutub al-Ilmiyyah.

No comments:

 
BLOG COPYRIGHT 2014 Ieyra Nazari || DESIGN BY NurAlja Lee || DOODLE BY Fizgraphic